Guan Eng ingatkan ahli DAP jangan persoal tentang peralihan kuasa

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 15, 2019 17:42 MYT
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (tengah) bersama Pengerusi DAP Negeri, Chow Kon Yeow (kanan) bersalaman dengan para perwakilan yang hadir pada Majlis Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang hari ini. - Gambar BERNAMA
Semua ahli DAP diingatkan agar tidak membuang masa dengan mempersoalkan mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri kelapan, sebaliknya beri tumpuan kepada usaha kerajaan membangunkan negara.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kemungkinan besar peralihan kuasa berlaku selepas Sidang Kemuncak APEC 2020 di Kuala Lumpur pada November tahun depan.
Jesteru, katanya semua pihak seharusnya tidak menjadikan isu peralihan kuasa tersebut sebagai agenda utama sehingga mencetuskan perbalahan dalaman seterusnya menyebabkan berlaku ketidakstabilan dalam kerajaan.
Tegasnya, tahun 2020 adalah tahun penting untuk kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji manifesto dalam memastikan rakyat dapat hidup dengan baik berbanding dahulu.
BACA: Tun M ulangi janji lepaskan jawatan Perdana Menteri selepas masalah negara diselesaikan
"Jangan ada mana-mana pihak masih mempersoalkan peralihan kuasa antara Tun (Dr) Mahathir dengan Anwar ibrahim yang telah pun dinyatakan dengan jelas oleh Tun M yang akan berlaku selepas APEC pada November 2020.
"Jangan persoalkan peralihan kuasa, ini pun dah diputuskan, biarlah kita tumpukan tenaga, (beri) perhatian ke atas menunaikan janji manifesto PH membangunkan negara, menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kita boleh banggakan dan yakinkan rakyat di bawah PH mereka hidup lebih senang berbanding zaman BN (Barisan Nasional)," kata Guan Eng ketika berucap pada Majlis Konvensyen Tahunan DAP Negeri Pulau Pinang hari ini.
Hadir sama, Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow.
Dalam pada itu, Guan Eng turut mengingatkan ahli DAP agar menggunakan saluran parti untuk menyelesaikan semua masalah dalaman dan tidak melakukannya secara terbuka sehingga boleh menjejaskan imej parti.
"Jangan habiskan tenaga tentang isu masalah dalaman parti. Biar kita bincang pada sidang tertutup (dan) bukan terbuka kerana apa yang berlaku di antara parti lain pun akan melimpah, (dan) kita pun akan kena tempias," katanya lagi.
Selain itu, Guan Eng juga meminta ahlinya agar terus menghargai jasa dan pengorbanan veteran DAP yang banyak berjasa kepada parti.
#ahli-ahli DAP #berhenti persoal isu peralihan jawatan Perdana Menteri #Lim Guan Eng #Pakatan Harapan #Setiausaha Agung DAP #tunai manifesto
;