Guan Eng ambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin politik
Astro Awani
Mac 15, 2020 17:02 MYT
Mac 15, 2020 17:02 MYT
Seorang pemimpin parti UMNO bakal berdepan tindakan undang-undang ekoran penyebaran berita palsu terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan anaknya.
Dalam satu kenyataan, Guan Eng memaklumkan, selain pemimpin UMNO, beberapa penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pas juga bakal berdepan tindakan yang sama.
"Seorang pemimpin Pemuda UMNO yang menggunakan nama “Papa Azri” mula menyebarkan penipuan ini dengan mengatakan yang saya telah terbang ke Singapura pada 29 Februari selepas anak lelaki saya ditahan di Lapangan Terbang Singapura kerana membawa wang yang berjumlah RM2 juta tanpa membuat perisytiharan yang sepatutnya," katanya.
Menurut Guan Eng, berita tersebut kemudian terebar pantas dalam kalangan penyokong BN dan UMNO.
Malah jelas beliau, Media Chinese International Limited (MCIL) turut terlibat menyebarkan berita tersebut.
Bekas Menteri Kewangan itu mendakwa, penyebaran berita tersebut bertujuan untuk mencemarkan nama baik pemimpin Pakatan Harapan (PH).
"Ketua Polis Negara telahpun menafikan kedua-dua laporan ini sebagai satu perkara yang salah.
"Pada 29 Februari, saya berada di Kuala Lumpur sepanjang hari dalam cubaan untuk mempertahankan kerajaan yang telah dipilih secara demokratik dan mandat rakyat yang telah diberikan pada Pilihan Raya Umum 2018.
"Saya berharap pihak Polis dapat mengambil tindakan tegas dan menahan penyebar berita palsu ini yang telah menyakiti individu yang tidak bersalah, bagi melindungi semua rakyat Malaysia," katanya lagi.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa ini bukan kali pertama anaknya dijadikan sasaran oleh individu yang menggunakan nama Papa Azri.
"Sebelum ini beliau pernah membuat pertuduhan yang kononnya anak saya telah melakukan gangguan seksual kepada rakan sekelasnya, lengkap dengan gambar “mangsa” serangan yang sebenarnya adalah gambar seorang juara catur dari Hong Kong yang tidak pernah berjumpa dengan anak saya sekalipun," katanya.
Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menafikan laporan berita yang mendakwa anak seorang pemimpin kanan parti politik ditahan di Singapura.
#Barisan Nasional
#DAP
#fitnah
#juta
#Lim Guan Eng
#Papa Azri
#PAS
#Pemuda UMNO
#Singapura
#UMNO
#wang