Guaifenesin Syrup tidak berdaftar di Malaysia, KKM nasihat henti guna

Bernama
Mei 1, 2023 17:04 MYT
Dr Muhammad Radzi berkata, orang awam yang berkemungkinan menggunakan atau mengetahui sesiapa yang sedang menggunakan produk itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya. - Gambar Twitter@KKMPutrajaya
KUALA LUMPUR: Produk sirap ubat batuk Guaifenesin Syrup TG Syrup yang dikilangkan oleh QP Pharmachem Ltd (Punjab, India) didapati tidak berdaftar di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Beliau berkata ia berdasarkan semakan yang dilakukan terhadap pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berkaitan produk berkenaan.
"Pengambilan produk sirap ubat batuk yang tercemar dengan diethylene glycol (DEG) dan ethylene glycol (EG) adalah toksik kepada manusia yang boleh memberikan kesan seperti sakit pada bahagian abdomen, muntah, cirit-birit, kesukaran untuk membuang air kecil, sakit kepala, perubahan pada keadaan mental dan kecederaan yang teruk pada buah pinggang.
"Produk yang tercemar ini adalah tidak selamat untuk digunakan terutama dalam kalangan kanak-kanak kerana boleh menyebabkan kesan yang serius atau kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 25 April lepas telah mengeluarkan amaran mengenai sirap ubat batuk tercemar yang merujuk kepada sirap ubat batuk Guaifenesin Syrup TG Syrup yang dikesan mengandungi diethylene glycol dan ethylene glycol melebihi had dibenarkan.
Dr Muhammad Radzi berkata meskipun ia tidak berdaftar di Malaysia, orang awam yang berkemungkinan menggunakan atau mengetahui sesiapa yang sedang menggunakan produk itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan, terutama jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan advers.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penjualan produk tidak berdaftar di pasaran, boleh membuat aduan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my atau melaporkan di Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau menghubungi talian 03-7841 3200 untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Orang awam juga digalakkan membuat aduan sekiranya terdapat keraguan tentang kualiti dan keselamatan produk yang digunakan.
"KKM menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin serta akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa," katanya.
-- BERNAMA
#Bahagian Regulatori Farmasi Negara #Guaifenesin Syrup #diethylene glycol #QP Pharmachem Ltd
;