Gua Niah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia UNESCO

Bernama
Julai 27, 2024 22:48 MYT
Pengiktirafan ke atas Gua Niah itu juga akan meningkatkan keterlihatan Malaysia di mata dunia sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong. - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi mengukir kejayaan di persada dunia apabila Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan itu diumumkan pada 7 malam waktu tempatan ketika sesi Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-46 berlangsung yang bermula 21 dan berakhir pada 31 Julai di New Delhi, India.
Menurut kenyataan itu, pengiktirafan berprestij berkenaan telah diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia yang dipengerusikan oleh wakil dari India.
"Usaha pencalonan Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah ini telah bermula sejak tahun 2019 dengan dokumen Senarai Tentatif telah dihantar kepada pihak UNESCO pada 22 Jan 2021 dan pada 31 Jan 2023, dokumen pencalonan telah dikemukakan secara serahan tangan kepada pihak Sekretariat UNESCO di Paris, Perancis," katanya.
Pengiktirafan itu menyaksikan Malaysia secara keseluruhannya berjaya menyenaraikan lima Tapak Warisan Dunia UNESCO termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Kinabalu pada 2000, Bandar Bersejarah Selat Melaka dan George Town (2008) serta Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).
Menurut MOTAC, penyenaraian di bawah Senarai Warisan Dunia UNESCO dikejar oleh seluruh negara kerana ia adalah pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia bagi tapak warisan.
"Selain mempromosi dan mengetengahkan tapak warisan negara di peringkat global, pengiktirafan ini turut menunjukkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan tempatan.
"Secara tidak langsung, pengiktirafan ini juga akan meningkatkan keterlihatan Malaysia di mata dunia sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong," katanya.
MOTAC turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan usaha pencalonan dapat berjalan dengan lancar.
Sehingga kini, sejumlah 1,199 kawasan dari seluruh dunia telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972.
Malaysia kini berusaha mencalonkan beberapa lagi kawasan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu FRIM Forest Park Selangor, Taman Negeri Royal Belum dan Pusat Kawalan Kusta Negara.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh pula berkata pengiktirafan oleh UNESCO menekankan kepentingan global Taman Negara Niah sebagai tapak nilai sejagat yang menakjubkan.
"Ia adalah bukti komitmen kami untuk memelihara dan melindungi warisan semula jadi serta budaya kita untuk generasi akan datang," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa inskripsi Taman Negara Niah dalam Senarai Warisan Dunia adalah kemuncak usaha berdedikasi selama bertahun-tahun oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk Perbadanan Perhutanan Sarawak, komuniti tempatan, penyokong pemuliharaan dan kerajaan Malaysia.
"Pengiktirafan berprestij ini dijangka meningkatkan usaha pemuliharaan, menggalakkan pelancongan mampan dan memupuk kerjasama antarabangsa yang lebih besar dalam memelihara warisan tidak ternilai di taman itu," katanya.
-- BERNAMA
#tapak warisan arkeologi #Unesco #gua niah #Taman Negara #MOTAC
;