Gua Kelam, Taman Eko Rimba Bukit Ayer berisiko berlaku kepala air - Bomba
Bernama
November 11, 2021 13:24 MYT
November 11, 2021 13:24 MYT
KANGAR: Gua Kelam di Kaki Bukit dan Taman Eko Rimba Bukit Ayer di Bukit Bintang dekat sini, dikenal pasti sebagai kawasan berisiko berlaku insiden kepala air sekiranya hujan lebat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Muhamad Firdaus Yusop berkata sebelum ini kejadian kepala air biasa berlaku di kawasan terbabit namun tidak terlalu buruk seperti di negeri lain.
"Setakat ini, JBPM belum menerima sebarang aduan atau panggilan mengenai kejadian ini (kepala air) namun kita akan membuat pemantauan di kawasan tersebut sekiranya hujan lebat.
"Sehingga hari ini, alhamdulilah tiada kes kemalangan atau kejadian yang tidak diingini berlaku akibat kepala air, tetapi harus diingat kita tidak boleh alpa, sebarang kejadian harus dilaporkan segera kepada pihak berkuasa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Muhamad Firdaus sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya merancang segala aktiviti terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu beliau berkata keadaan banjir di negeri ini masih terkawal dan telah surut walaupun hujan lebat sejak beberapa hari lepas.
Katanya pihaknya akan sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir besar di negeri itu.
-- BERNAMA