Gua-gua kecil di dasar Kuala Lumpur tidak seteruk gambaran media sosial – Presiden IGM

Irfan Faruqi
Ogos 29, 2024 06:30 MYT
Abd Rasid berkata gua-gua kecil sememangnya terbentuk di dasar Kuala Lumpur tetapi tidak seburuk yang digambarkan dalam media sosial. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Gua-gua kecil sememangnya terbentuk di dasar Kuala Lumpur tetapi tidak seburuk yang digambarkan dalam media sosial.

Ringkasan AI
  • Keadaan Gua-Gua Kecil: Gua-gua kecil memang wujud di bawah permukaan Kuala Lumpur, tetapi tidaklah seburuk yang digambarkan di media sosial. Keadaan ini tidak menunjukkan risiko besar seperti yang sering dibayangkan.
  • Langkah Keselamatan: Jurutera telah mengambil langkah-langkah mitigasi yang canggih untuk menangani isu ini dan memastikan keselamatan penduduk serta struktur bangunan.
  • Kekuatan Batu Kapur: Batu kapur di Kuala Lumpur telah melalui proses geologi yang menjadikannya lebih kuat, berubah menjadi batuan marmar.

Presiden Institut Geologi Malaysia, P. Geol Gs. Abd Rasid Jaapar berkata jurutera-jurutera telah melaksanakan langkah berkaitan untuk memastikan isu mengenai kaviti ini ditangani dan menjamin keselamatan penduduk serta struktur bangunan.
“Batu Caves adalah batu kapur di atas permukaan. Kita nampak topografi Batu Caves yang kita panggil fitur kars yang tajam dengan gua-gua.
“Keadaan yang sama berlaku juga di bawah permukaan Kuala Lumpur. Tetapi tidaklah seteruk yang digambarkan dalam media sosial dengan gua besar yang akan runtuh tidak lama lagi. Itu semua tidak tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Gua-gua kecil di dasar Kuala Lumpur tidak seteruk gambaran media sosial – Presiden IGM
Abd Rasid turut berkongsi pengalamannya menjalankan siasatan tanah dalam proses pembinaan Menara Berkembar PETRONAS. Menurutnya, kaviti di dasar tapak pembinaan mengejutkan para jurutera, namun semua langkah telah di ambil untuk menangani isu berbangkit.
“Kita memang jumpa gua-gua kecil. Tetapi jurutera kita yang hebat-hebat telah gunakan kaedah-kaedah mitigasi termaju pada waktu itu, bagi menangani isu gua-gua kecil bawah permukaan ini,” tambahnya.
Abd Rasid turut menjelaskan bahawa batu kapur yang terbentuk di dasar Kuala Lumpur telah melalui proses geologi menjadi batuan marmar yang lebih kuat. Maka, dakwaan bahawa Kuala Lumpur akan terbenam adalah tidak berasas.
“Kebanyakan batu kapur di Kuala Lumpur ini bukan lagi dalam bentuk batu kapur asal. Ini kerana, kita ada batu granit yang menerobos dari bawah.
“Kalau kita ke Hulu Langat, kita ada kawasan berbukit yang merupakan kawasan-kawasan granit. Hal yang sama juga berlaku di kawasan-kawasan sekitar Subang Jaya.
“Maka, batu kapur telah melalui proses metamorfosisme yang menjadikan batu kapur itu bersifat marmar.
“Sebenarnya batu kapur di Kuala Lumpur ini lebih kuat kerana ia dalam bentuk marmar. Usah bimbang mengenai kenyataan berkaitan gua-gua itu semua tidak berasas berdasarkan kepada kajian kita,” ujarnya.
Pada 23 Ogos lalu, seorang pelancong warga India, Vijayalechumy, 48, terjatuh ke dalam tanah jerlus berkedalaman lapan meter di Jalan Masjid India.
Ia disusuli dengan insiden tanah jerlus yang berlaku berdekatan Pondok Polis Masjid India awal pagi 28 Ogos.
Dialog Tiga Penjuru: Awas! Jerus, mendap, banjir, runtuh
#tanah jerlus #Masjid India #media sosial #Kuala Lumpur #batu kapur
;