GST: Warna label berlainan akan memudahkan pengguna - Fomca
Hafiz Marzukhi
Mei 6, 2015 15:51 MYT
Mei 6, 2015 15:51 MYT
Penggunaan warna label yang berlainan wajar diamalkan supaya pengguna dapat membezakan antara barangan yang dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan yang dikecualikannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Paul Selvaraj berkata penggunaan warna label akan memudahkan pengguna mengenalpasti barangan ketika pembelian.
"Pengguna harus bijak menilai harga barangan di pasaran supaya tidak tertipu," kata beliau selepas membuat pemantauan harga di Pasaraya Besar Giant di Kota Damansara tengah hari tadi.
Harga barangan keperluan harian dipantau dalam lawatan tersebut yang bertujuan untuk membuat perbandingan harga selepas perlaksanaan GST pada 1 April lepas.
Turut hadir dalam sesi pemantauan tersebut ialah Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman.
Ditanya pula mengenai kesedaran pengguna dalam pembelian barangan, Paul berkata secara relatifnya pengguna kini lebih bijak memilih barangan.
Namun, beliau ingatkan kenaikan atau penurunan harga barangan bukan hanya disebabkan GST tetapi beberapa faktor lain.
"Kita harus ingat harga barangan dipengaruhi oleh pasaran. Oleh itu, bukan GST sahaja yang memberi impak kepada kenaikan harga barang," tambah Paul.