GST untuk tampung subsidi, penurunan harga rumah mampu milik Felda - Mustapa

Haider Yutim
Mei 4, 2015 09:09 MYT
Mustapa ketika membuat kunjungan ke Felda Keratong di Rompin Pahang pada Ahad.- Foto Astro AWANI/Haider Yutim
Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata wang dari cukai barangan dan perkhidmatan (GST) digunakan untuk menampung subsidi yang ditanggung kerajaan termasuk penurunan harga rumah di bawah projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF).
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, harga rumah tersebut yang asalnya RM125,000 itu kini dijual pada harga RM90,000 membuatkan kerajaan perlu menampung perbezaan kos sebanyak RM35,000 bagi setiap generasi kedua Felda.
“Setiap generasi kedua Felda, kerajaan kena bagi RM35,000 dan wang itu perlu dicari di merata-rata termasuk cukai pendapatan dan orang-orang kaya.
“Dari orang kaya kita bagi pada orang-orang yang betul-betul memerlukan termasuklah generasi kedua Felda,” kata beliau dalam sebuah ucapan di program Felda Keratong Satu pada Ahad.
Jelas Mustapa, harga RM125,000 kepada RM90,000 yang merupakan harga kos itu perlu ditampung itu merupakan subsidi.
“Kalau tuan-tuan berniaga, kos dia RM5 tapi kamu jual RM4, bankrap la kamu kerana tak balik modal.
“Jadi rumah PGBF tu maknanya sebuah rumah dibayar RM35,000. Sebab itu kita perlukan hasil kerana kos kita semakin banyak,” katanya.
Selain itu, katanya kos-kos pentadbiran lain seperti pertahanan adalah mahal, dan juga subsidi hospital, pembayaran kakitangan awam dan golongan pencen yang semakin bertambah juga perlu ditampung.
“(Golongan) Pencen pun makin ramai… dulu sedikit, sekarang dah cecah 700,000. Dalam askar, 21 tahun berkerja dapat pencen, wakil rakyat dapat pencen, menteri besar dan juga pegawai daerah.
“Kerana apa (bertambah)? Kerana kita hidup makin lama. Kalau dulu umur 70 lebih dah mati dah, sekarang ni 90 kuat lagi,” kata Mustapa lagi.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan telah mengarahkan supaya harga rumah-rumah PGBF terutama di Parlimen Rompin, diturunkan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas menyelami keluh kesah generasi baru serta permintaan agar harga rumah tersebut dikaji semula.
Menurut Najib, beliau telah mengarahkan Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada untuk menawarkan harga baru rumah-rumah tersebut pada harga RM90,000 untuk pembelian secara jual-beli.
Dalam pada itu beliau turut menyelar tindakan pihak pembangkang yang sering mengkrtitik segala usaha yang dibuat oleh kerajaan.
Katanya pembinaan Jambatan Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Putrajaya dahulu juga ditentang pembinaannya tetapi sekarang tempat-tempat tersebut telah mendatangkan keuntungan kepada negara.
“Dulu Putrajaya pembangkang kata buat apa bina, membazir… sekarang mereka hendak menghuninya pula,” tambah Mustapa.
#Felda #Keratong #Mustapa Mohamed #PRK #Rompin #TOK PA
;