GST tidak akan jejas peluang BN tawan Sungai Limau - Muhyiddin
Aizat Sharif
Oktober 26, 2013 20:52 MYT
Oktober 26, 2013 20:52 MYT
Kerajaan yakin penduduk Sungai Limau tidak akan termakan dakyah keburukkan perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang kini menjadi bahan kempen parti PAS untuk meraih undi dalam Pilihan Raya DUN Sungai Limau.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebanyakkan pengundi di DUN Sungai Limau merupakan golongan berpendapatan rendah dan tidak akan terjejas dengan pelaksanaan GST, kerana sistem cukai itu tidak dikenakan kepada barangan asas.
“Saya percaya rakyat tidak akan termakan dengan apa dakyah negatif yang hendak dibawa oleh pihak pembangkang mengenai GST yang disebutkan oleh Perdana Menteri (PM) pada pembentangan Bajet 2014 semalam kerana mereka juga sebagai ahli politik pun faham dimana akan sampai waktu dan ketikanya, GST akan dilakukan juga,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan di Kompleks Pertubuhan Peladang, Bukit Besar pada hari Sabtu.
Tambah beliau lagi, GST merupakan suatu sistem percukaian yang efisyen dan cekap dan telah terbukti di lebih 160 buah negara termasuk dikalangan negara-negara Asia.
“Pasti juga mereka ada pertimbangan kenapa mereka harus berubah dari sistem lama kepada GST kerana inilah pendekatan yang paling baik dan mempunyai impak dari segi meneruskan dasar fiskal dan mengukuhkan ekonomi negara dan Malaysia tidak boleh terkecuali dalam hal ini,” katanya lagi.
Ura-ura untuk perlaksanaan GST ini sudah lama dicanangkan sejak tahun 2006 dan rang undang-undang pertamanya telah dibacakan tiga tahun berikutnya.
“Tetapi kerana rakyat perlukan masa, jadi kita ambil masa sedikit untuk perlaksanaannya. Semua pakar-pakar ekonomi memutuskan tindakan PM adalah satu tindakan yang bijaksana dan tepat kerana sudah sampai masanya. Lebih-lebih lagi, di waktu inflasi di Malaysia ini sangat rendah anggaran dalam dua peratus sahaja dan kedudukan ekonomi masih kukuh,” kata Muhyiddin.
“Walaupun PAS akan gunakan itu sebagai modal berkempen dan rakyat umumnya mungkin tidak akan memahami secara terperinci apa maksud GST kerana selama ini pun mereka tidak tahu apa itu cukai dan sebahagian besar mereka hanya bayar macam biasa. Tidak tahu mereka itu membayar cukai jualan dan perkhidmatan, namun sistem itu tidak boleh lagi digunapakai,” kata Muhyiddin lagi.
Sistem tersebut tidak memberi gambaran ekonomi negara ini berpandangan jauh.
“Ahli PAS kena faham, kecuali jikalau mereka tidak pakar ekonomi, bahawa penting untuk mengukuhkan ekonomi kita. Apa maknanya kita ada satu dasar namun pada jangka panjangnya pihak pakar ekonomi dalam negara dan antarabangsa melihat dasar polisi yang ada ini tidak meyakinkan,” katanya.
Perlaksanaan cukai GST akan dimulakan pada 1 April 2015.
Himpunan yang menarik ribuan petani, penternak dan nelayan dari seluruh negeri Kedah itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan calon Barisan Nasional bagi PRK DUN Sungai Limau, Dr Ahmad Sohaimi Mat Lazim.