GST kadar sifar, tetapi tiada berita gembira untuk perokok

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 2, 2018 11:11 MYT
Percukaian dan mekanisme kawalan harga adalah langkah berkesan bagi menurunkan permintaan terhadap hasil tembakau termasuk rokok. - Gambar hiasan
Walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar mulai 1 Jun, kerajaan telah memutuskan harga jualan runcit bagi hasil tembakau termasuk rokok dikekalkan pada harga pasaran.
Ini bermakna, tiada penurunan harga akan berlaku bagi penjualan rokok yang akan dinikmati oleh pengguna.
Ia disahkan Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, kerajaan berpendirian dan menegaskan bahawa harga jualan runcit hasil tembakau, termasuk rokok, tidak boleh diturunkan.
"Kerajaan berpendapat bahawa ia merupakan produk yang membahayakan kesihatan dan sebarang penurunan harga jualan runcit akan dianggap sebagai suatu bentuk promosi secara tidak langsung.
"Ia juga bertentangan dengan Peraturan 5A, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004," kata kementerian itu.
Pengekalan harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok juga adalah selaras dengan komitmen antarabangsa di bawah Artikel 6, World Health Organisation Framework Convention on Tobacco Control, tambahnya.
Artikel itu mengiktiraf bahawa percukaian dan mekanisme kawalan harga adalah langkah berkesan bagi menurunkan permintaan terhadap hasil tembakau.
#cukai #GST #harga #Kementerian Kewangan #kerajaan #kesihatan #Media #perokok #rokok #sifar
;