Kastam Diraja Malaysia diminta berani dan segera menjawab 106 soalan daripada Gabungan Membantah GST yang diberi pada Isnin lepas.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S.Arutchelvan berkata, gabungan itu seolah-olah diperangkap apabila tiada jawapan diberi malah aktivis berkenaan pula ditangkap pada hari berkenaan.

"Apabila 106 soalan yang mudah ini dibawa ke Kaunter Penerangan GST pada Isnin lepas dan Kastam menghadapi keadaan ini dengan mengistiharkan seolah-olah kawasan tersebut darurat.

"Sebelum kami membawa soalan ini ke Jabatan Kastam, pihak kami sudahpun mendapat kepastian bahawa rakyat boleh membawa soalan kepada kaunter GST Kastam Kelana Jaya.

"Namun apakah sebenarnya yang telah berlaku. Kaunter GST telah ditutup serta merta dan dikunci apabila rakyat mahu mendekatinya.

"Kemudian Kaunter Penerangan GST telah dikawal oleh anggota-anggota keselamatan yang tidak membenarkan orang ramai memasukinya.

"Kemudian kami dimaklumkan bahawa Ibu Pejabat Kastam ditutup kerana terancam dengan 106 soalan 'remeh, kacang dan mudah' yang dibawa oleh rakyat Malaysia sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Isnin, Arutchelvan dan puluhan aktivis Gabungan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditahan susulan insiden penyerahan satu memorandum bantahan GST kepada Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya.

Katanya lagi, mereka turut difahamkan bahawa polis telah melancarkan satu Operasi yang dipanggil Ops Aman GST dimana lebih 620 anggota polis dikerah dari seluruh Selangor untuk mengawal Kastam dan menghalau rakyat yang datang untuk bertanya 106 soalan berkenaan.

"Maka nampaknya memang pihak Kastam dan Polis ada niat untuk halau kita daripada bertanyakan soalan-soalan kepada kaunter penerangan.

"Namun pengarah berkenaan dengan baculnya hanya menjawab satu soalan dan terus melarikan diri dengan kertas soalan entah kemana," jelasnya.

Tambahnya, kegagalan Kastam menjawab soalan berkenaan menjadi punca ribuan syarikat masih belum mendaftar untuk GST.

" Mengapa jutaan wang rakyat digunakan untuk iklan untuk membodek, menghasut dan mengugut rakyat menerima GST?

"Mengapa sehingga kini, semakin banyak Pertubuhan-pertubuhan termasuk veteran-veteran UMNO meminta ia tidak dilaksanakan atau ditangguhkan?" ujarnya.

Majlis penyerahan Memorandum oleh Gabungan Bantah Cukai GST di Pejabat Kastam di Kelana Jaya menjadi kecoh selepas pertengkaran berlaku di antara pihak polis dan sekretariat Bantah GST.

Pada Khamis, sebuah porta melaporkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad akan akan menjawab kesemua 106 soalan berkaitan GST dari NGO yang menentang pelaksanaan cukai tersebut.

Tegasnya, jawapan itu akan dimuatkan di laman web JKDM untuk rujukan semua pihak.