GST bantu tingkatkan ekonomi negara

Bernama
Oktober 24, 2017 10:55 MYT
Desmond berkata, sistem percukaian itu tidak dinafikan telah membantu meningkatkan ekonomi Malaysia. - Foto hiasan.
Di sebalik kritikan mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak dua tahun lalu, sistem percukaian itu tidak dinafikan telah membantu meningkatkan ekonomi Malaysia.
Pengarah Hernancres Tax Consultancy Sdn Bhd, Desmond Anil, berkata sistem cukai itu, yang berkuat kuasa pada 1 April, 2015, telah meningkatkan pertumbuhan negara.
Pakar cukai itu berkata cukai dibelanjakan untuk memacu Projek Permulaan yang merupakan sebahagian daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang akan menyumbang kepada Pertumbuhan Ekonomi Malaysia yang boleh diukur oleh petunjuk Pendapatan Negara Kasar.
Katanya, NKEA, sebagai teras Program Transformasi Ekonomi, yang terdiri daripada sektor terpilih daripada peluang ekonomi bagi sektor swasta yang akan memacu Malaysia ke arah status berpendapatan tinggi dan daya saing global.
"Misalnya, ia telah menyumbang dalam pembinaan infrastruktur seperti Mass Rapid Transit, meningkatkan sektor minyak dan gas, menggalakkan pertumbuhan ekonomi digital dan industri halal," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pada suku kedua tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara meningkat sebanyak 5.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, selepas naik 5.6 peratus pada suku pertama.
Bukan sahaja ia merangsang pertumbuhan ekonomi, secara tidak langsung sistem percukaian itu menyediakan struktur dalam perniagaan berbanding sistem percukaian sebelum ini, katanya.
"Sebelum GST, terdapat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) . Ia tidak menyediakan struktur cukai. Bagaimanapun, apabila SST dimansuhkan dan GST dilaksanakan, setara dan seimbang berlaku yang membawa kepada wujudnya jejak perniagaan," katanya.
Selain itu, sistem cukai tersebut berjaya menghalang kebocoran berikutan terdapat jejak dokumentasi berbanding SST susulan perniagaan kini lebih berhati-hati dan mempunyai pelan perniagaan selanjutnya, katanya.
"Cukai tersebut dapat menapis barangan dan perniagaan yang tidak baik serta membuat usahawan berfikir dengan teliti sebelum menceburi bidang perniagaan baharu," katanya.
Menyatakan terdapat naik dan turun dalam pelaksanaan GST, Desmond berkata sistem percukaian itu masih dianggap baharu dan ia akan mengambil masa lima hingga enam tahun untuk matang dan stabil.
Beliau berkata walaupun kadar GST Malaysia antara yang terendah di ASEAN, adalah lebih baik mengekalkan kadar tersebut berikutan sebarang perubahan boleh mengganggu operasi perniagaan.
"Jika sistem cukai itu tidak dilaksanakan dengan baik, ia akan menjejaskan perniagaan," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata GST tidak harus dilihat sebagai cukai baharu tetapi sebahagian daripada pembaharuan cukai yang komprehensif bertujuan untuk menjadikan Malaysia lebih kompetitif, mengawal ekonomi haram, mengurangkan pengelakan cukai dan memperluaskan asas cukai keseluruhan.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata sejak Malaysia melaksanakan GST pada 2015, banyak negara lain seperti India dan Mesir turut melaksanakannya.
Semua negara Kerjasama Teluk, termasuk Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, akan melaksanakan GST pada 1 Jan tahun depan, katanya.
"Malah pelan ekonomi kita telah membawa kepada kadar GST Malaysia hanya enam peratus - jauh lebih rendah berbanding negara lain yang tidak berkongsi asas ekonomi kita yang kukuh," kata Najib dalam blog beliau bertajuk, 'My Economic Vision For Malaysia', hari ini.
-- BERNAMA
#cukai barang dan perkhidmatan #Desmond Anil #GST #Pengarah Hernancres Tax Consultancy Sdn Bhd