GST: Aduan pengguna menurun 90 peratus - Hasan Malek
Astro Awani
Mei 23, 2015 14:08 MYT
Mei 23, 2015 14:08 MYT
Masyarakat digesa terus membuat aduan mengenai peniaga yang mengambil kesempatan menaikan harga barang selepas perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), 1 April lalu.
Menteri Perdagangan dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan KPDDNK, Datuk Seri Hasan Malek berkata, statistik pihaknya merekodkan trend aduan menurun hampir 90 peratus dari 4,541 aduan pengguna pada April lalu berbanding hanya 441 aduan pengguna setakat 20 Mei ini.
"Aduan menurun dan perkara ini tidak boleh dibiarkan. Pengguna tidak boleh hanya bercakap diluar sahaja,"
"Kami tidak mempunyai cukup anggota penguatkuasa,maka pengguna perlu bantu untuk membuat aduan agar kami dapat mengambil tindakan," kata Hasan pada sidang media di hadapan wartawan.
Tambahnya, aduan yang konsisten akan turut membantu pihaknya mengekang masalah peniaga menaikkan barang sesuka hati.
Beliau turut memberi jaminan bahawa segala aduan pengguna akan diberi perhatian serius dan pesalah akan dikenakan tindakan yang setimpal termasuk tindakan mahkamah.
Hasan berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Ar-Rahnu X'Change di Wangsa Maju di sini, hari ini.