GSC 3 Damansara tamat operasi 18 Mac ini
Astro Awani
Mac 7, 2024 15:50 MYT
Mac 7, 2024 15:50 MYT
SELEPAS 15 tahun beroperasi, Golden Screen Cinemas (GSC) 3 Damansara mengumumkan akan menjalankan tayangan terakhir pada 17 Mac dan menghentikan operasinya berkuat kuasa 18 Mac ini.
Perkara itu dimaklumkan pihak GSC menerusi hebahan di media sosialnya pada Khamis.
"Bermula daripada pembukaan kami pada 20 Jun 2009, ia merupakan perjalanan yang luar biasa. Kami amat berterima kasih atas sokongan dan semangat berterusan sepanjang 15 tahun ini.
"Kegembiraan dan emosi yang telah anda kongsikan, gelak tawa, kejutan dan tepukan anda akan sentiasa bergema dengan kami," kata penyedia pawagam terbesar di Malaysia itu.
Menurutnya, pelanggan pawagam berkenaan masih boleh menonton filem di GSC The Starling Mall, GSC Paradigm Mall, GSC 1 Utama dan GSC Tropicana Gardens Mall.
Penamatan operasi GSC 3 Damansara merupakan penutupan panggung wayang ketiga dibuat oleh penyedia pawagam terkenal negara itu.
GSC sebelum in mengumumkan operasi pawagamnya di Alamanda Putrajaya ditutup pada 14 Ogos tahun lalu.
Selepas itu GSC Berjaya Times Square mengumumkan akan menjalankan tayangan terakhir pada 26 November dan akan berhenti operasi pada 27 November, selang kurang tiga bulan penutupan di Alamanda Putrajaya. -Sinar Harian