Grub Cycle jual makanan hampir tamat tempoh, kurangkan pembaziran

Tan Su Lin
September 9, 2016 08:41 MYT
Sasaran Grub Cycle adalah menyelamatkan 7,000 kg makanan dalam tempoh setahun.
Melihat pembaziran makanan yang terlampau banyak di negara ini, sekumpulan anak muda tempatan mendapat idea menjual produk makanan yang hampir tamat tempoh, pada harga lebih murah.
Menerusi pendekatan inovatif itu, sebuah perusahaan sosial iaitu Grub Cycle, berjaya menyelamatkan 70 kilogram makanan daripada pembaziran, dalam masa hanya dua bulan.
Sasaran Grub Cycle adalah menyelamatkan 7,000 kg makanan dalam tempoh setahun.
Menurut Pengasas Bersama Grub Cycle, Redza Shahid, idea berkenaan tercetus ekoran kadar pembaziran makanan yang kritikal di negara ini.
"Kami ada mendengar forum mengenai pembaziran makanan di mana menurut SWCorp, sebanyak 15,000 tan sisa makanan dibuang rakyat Malaysia setiap hari termasuk 3,000 tan makanan yang masih elok dan boleh dimakan.
"Daripada 3,000 tan itu, kita boleh beri makan kepada 2.2 juta orang di Malaysia. Jumlah itu adalah bersamaan dengan dua kali ganda Selangor dan Terengganu. Kami rasakan ini adalah masalah besar dan berharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai supaya tidak membazir makanan," katanya kepada Astro AWANI.
Penjualan dilakukan di atas talian menerusi laman Facebook "Grub Cycle" dan penghantaran adalah percuma di sekitar Lembah Klang.
Ditubuhkan pada awal tahun ini, Grub Cycle kini sudah bekerjasama dengan lima pasar raya besar, pasar-pasar borong dan kedai bakeri.
"Kami mengambil makanan yang hampir tamat tarikh luput dalam masa kira-kira 1 hingga 3 bulan. Kami membelinya daripada pasar raya-pasar raya besar dan kemudian menjual balik kepada orang awam pada harga lebih murah."
"Selain itu, kami juga bekerjasama dengan penjual buah-buahan dan sayur-sayuran. Kadang-kala apabila tidak dapat jual habis, mereka akan membuang barangan mereka. Daripada mereka buang, mereka bagi kami lebihan buah dan sayur itu kami buat jem, acar sayur dan vitamin," katanya.
Ditanya mengenai aspek keselamatan makanan, kata Redza, pelanggan sedia maklum bahawa makanan yang dijual adalah hampir tamat tempoh.
"Kami meletakkan klausa bahawa barangan yang kami jual adalah sekurang-kurangnya sebulan hingga tiga bulan sebelum tamat tempoh supaya pelanggan tahu apa sahaja dia beli dia kena makan secepat mungkin.
"Dari segi roti dan bakeri pula, pelanggan perlu mengambilnya dari kedai itu sendiri. Dengan itu, ia adalah terus daripada ketuhar jadi ini mengurangkan isu risiko keselamatan makanan. Apa kita cuba nak didik orang ramai adalah sekiranya kita menyimpan makanan, kita tidak tahu bila kita nak makan. Jadi apa kata kita beli makanan yang kita nak makan secepat mungkin?" katanya.
Malah ujarnya, pelanggan Grub Cycle langsung tidak kisah mengenai makanan yang hampir tamat tempoh.
"Kami mendapat respons yang bagus kerana mereka tahu makanan yang dibeli hampir tamat tempoh jadi mereka akan terus makan. Mereka tidak kisah kerana produk dijual adalah lebih murah dari pasaran dan mereka melihat ini adalah perkara yang bagus bagi mengelak makanan dibuang," katanya.
Selain itu, sebahagian daripada hasil penjualan disalurkan sebagai subsidi pembelian barangan runcit bagi keluarga yang kurang berkemampuan.
"Bagi setiap penjualan, kami akan beri subsidi kepada setiap Grub Bag yang mengandungi bahan makanan asas seperti garam, gula, telur, beras dan minyak masak. Harga satu beg adalah RM30 tetapi Grub Cycle akan subsidi separuh daripada beg berkenaan. Jadi mereka boleh membeli dengan harga RM15," katanya.
Sejumlah RM500 subsidi makanan berjaya disalurkan dalam tempoh dua bulan kepada 15 keluarga di sekitar Lembah Kelang.
Pada masa sama, orang ramai juga boleh membeli barangan pada harga lebih murah, sekaligus membantu meringankan bebanan kos sara hidup.
#Grub Cycle #pembaziran makanan #Redza Shahid
;