GRS tidak akan tunggu bagi tuntut hak Sabah di bawah MA63
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 8, 2020 16:32 MYT
Disember 8, 2020 16:32 MYT
KOTA KINABALU: Pembangunan ekonomi di Sabah akan melonjak sekiranya perjanjian cari gali minyak dan gas dapat dimeterai dengan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Menurut Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, hasil perjanjian itu nanti akan turut mempercepatkan proses pembangunan kawasan dan ekonomi luar bandar di negeri itu.
Justeru katanya, kerajaan negeri ketika ini sedang mengorak langkah serupa seperti jirannya Sarawak yang telah berjaya menandatangani perjanjian dengan Petronas pada Isnin.
"Kejayaan perjanjian tersebut secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menzahirkan sebahagian isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963.
"Syabas saya ucapkan kepada kerajaan negeri Sarawak yang telah berusaha bertungkus lumus demi mendapatkan kembali hak mereka dan sebagai rakan Borneo kami berbangga dengan kejayaan itu.
"Untuk Sabah pula, kerajaan negeri akan meneruskan usaha mengangkat perkara tersebut dan memastikan urusan perjanjian yang dilaksanakan akan membuahkan hasil yang serupa seperti mana yang diperolehi Sarawak.
"Hasil dari perjanjian itu nanti negeri ini akan dapat dibangunkan dengan lebih pesat dan pembangunan luar bandar juga dapat dioercepatkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Sarawak melalui syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berjaya memeterai perjanjian tersebut dengan Petronas.
Perjanjian tersebut antara lain adalah bagi menyelesaikan isu berkaitan pengurusan minyak dan gas serta persetujuan berhubung pengenalan cukai jualan petroleum di Sarawak.
Tambah Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), perjanjian seumpama itu nanti akan memperkukuh hubungan negeri dan persekutuan dan memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Sabah.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan mengulangi kesilapan kerajaan lepas yang dilihat tidak serius dalam memperjuangkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Kami akan berkerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sarawak dalam misi kami menuntut hak-hak kami seperti termaktub dalam MA63 untuk dipenuhi," katanya.
Selain itu, dalam perkembangan berasingan, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, Sabah perlu seiring dengan Revolusi Industri 4.0 bagi memacu negeri itu untuk lebih maju dan bersedia dengan keampuhan ekonomi digital.
Ujar beliau, sudah sampai masanya untuk Sabah menubuhkan satu badan bertanggungjawab dalam bidang multimedia seperti Sarawak Multimedia Authority (SMA).
"Dengan membangunkan ekonomi digital kita bakal melihat negeri ini bersaing secara sihat seiring Revolusi Industri 4.0 yang sememangnya memerlukan komitmen dan pelaburan dari sektor awam serta swasta.
"Pada hakikatnya Sabah jauh di belakang revolusi itu dan pelaburan tersebut adalah penting bagi menjamin kesediaan dan kejayaan ekonomi digitap di negeri ini. Sehubungan itu badan yang akan ditubuhkan nanti akan membantu merealisasikan strategi kerajaan untuk membangun ekonomi digital," katanya.