GRO warga asing ditahan dalam serbuan di premis makanan, pub
Astro Awani
September 13, 2020 23:30 MYT
September 13, 2020 23:30 MYT
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak menahan 21 warga asing dalam Op Bersepadu di dua premis makanan dan pub di sini pada Sabtu malam.
Menurut Pengarahnya, Kamalludin Ismail, dalam operasi dua jam bermula 7 malam itu, pihaknya menahan dua lelaki warga Myanmar dan 19 wanita warganegara China yang berumur antara 28 hingga 50 tahun.
"Beradasarkan maklumat awal yang diterima, premis kedai yang diserbu ini disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika serbuan terhadap salah sebuah premis di Jalan Russel beberapa warga asing lari bertempiaran selepas mengetahui kehadiran pegawai operasi di lokasi tersebut.
"Terdapat juga warga asing yang sanggup menggadai nyawa melarikan diri ke arah jalan besar yang ketika itu agak sibuk dengan kenderaan sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar membabitkan pegawai operasi dan warga asing ini," ujarnya.
Walaubagaimanapun, katanya, ketangkasan Pegawai Operasi telah berjaya menggalkan cubaan melarikan diri warga asing tersebut.
Kamalludin berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi premis itu menyediakan perkhidmatan gadis peneman atau GRO dengan memberi layanan manja kepada pelanggan sebelum ke pangsapuri atau apartment yang terletak di belakang premis terbabit.
Katanya, premis itu beroperasi setiap hari tetapi menawarkan perkhidmatan GRO pada hari Sabtu dan Ahad di sebelah malam sahaja.
"Bayaran kepada GRO ini adalah bergantung kepada tips yang diberikan oleh pelanggan.
"Siasatan awal mendapati bahawa kesemua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah dan tinggal lebih masa," katanya.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
#China
#GRO
#Imigresen
#Jabatan Imigresen Malaysia
#jenayah
#Malaysia
#Myanmar
#operasi
#PAS
#warga asing