GRO dan judi punca pemandu teksi di bawah kawalan ah long - Perpekli

Wan Syamsul Amly
Mei 31, 2015 14:58 MYT
PERPEKLI: GRO dan judi punca pemandu teksi di bawah kawalan ah long - Perpekli - Gambar fail
Gadis pelayan pelanggan (GRO), seks dan terlibat dengan kegiatan judi menjadi antara punca pemandu teksi terutama di ibu kota bergantung hidup dengan sumber kewangan selain paling menyedihkan terikat terus dengan sindiket pinjaman wang ah long.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah ketika mendedahkan isu itu berkata, sikap itu juga dilihat punca utama kebanyakan pemandu teksi gagal membayar sewa kenderaan kepada syarikat teksi yang berkenaan.
"Perempuan, GRO, seks, karaoke dan judi menjadi sebab pemandu teksi di Kuala Lumpur ini banyak membuat pinjaman wang dengan ah long.
"Mereka seharusnya boleh membayar sewa teksi kepada syarikat pengendali teksi namun apa yang terjadi sebaliknya. Sudahlah duit yang seharusnya dibuat untuk membayar sewa teksi dan perbelanjaan keluarga tidak digunakan seeloknya, mereka yang berkenaan juga terlibat dengan pengaruh negatif yang merosakkan diri sendiri.
"Apa yang terjadi kini sebenarnya membabitkan syarikat teksi juga, kelewatan pemandu teksi membayar sewa akan memberi kesan kepada semua. Kenapa hendak salahkan syarikat teksi jika teksi ditarik sedangkan punca adalah mereka sendiri?" katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Perempuan, GRO, seks, karaoke dan judi menjadi sebab pemandu teksi di Kuala Lumpur ini banyak membuat pinjaman dengan ah long.
BACA: Ops Noda: Remaja bawah umur jadi hamba seks
Aslah mendedahkan isu pemandu teksi yang dikatakan liat membayar sewa teksi dengan alasan kurang mendapat pelanggan selepas beberapa ketetapan baharu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
Katanya, ramai pemandu teksi yang membuat alasan SPAD sebagai punca melewatkan pembayaran sewa beli kereta mereka.
"Kita tahu masalah sebenar mereka, apa sahaja ketetapan baharu yang dibuat penguatkuasa bukan alasan kelewatan membayar sewa teksi.
"Semuanya temberang sahaja, mereka yang berkenaan banyak terlibat dengan kes GRO dan judi sehingga meminjam dengan ah long dan akhirnya menghadapi masalah kewangan yang menyusahkan diri sendiri," jelasnya.
BACA: SPAD perlu 'tinjau' pemandu teksi di ibu kota - Pengasas syarikat teksi
Dalam pada itu Aslah memberitahu, pihaknya kini sedang dalam perancangan untuk memansuhkan skim sewa beli teksi dan memperkenalkan strategi baharu yang lebih baik.
"Kita dalam perancangan memansuhkan skim sewa beli namun memandu teksi syarikat sahaja.
"Kita akan memantau perjalanan teksi dan semua penumpang yang menaiki teksi ini, GPS dan kamera akan digunakan dalam pakej terbaharu ini.
"Semua teksi juga akan ditukar dari semasa ke semasa dan pelaksanaan skim baharu ini akan diselesaikan secara berperingkat," ujarnya.
BACA: Pemandu teksi BBPTB akan teruskan dengan harga baharu
Dalam pada itu, Pengerusi Pemandu teksi di bawah Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan menyifatkan pemandu teksi sebegini boleh dikenal pasti daripada sikap mereka yang bermasalah selain tidak beretika kepada penumpang.
BACA: Petekma rayu Kerajaan dengar isi hati pemandu teksi
Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi,Limosin dan Kereta Sewa (Petekma), Mohd Syahrir Abdul Aziz merayu agar kerajaan meneruskan penetapan kadar tambang baharu dan tidak menangguhkannya seperti keputusan Kabinet minggu lalu.
Katanya, Kabinet harus melihat rayuan itu dari segi bebanan yang dihadapi terutama pemandu teksi yang sudah menyelaras meter kenderaan masing-masing.
#Ah Long #aslah #GRO #judi #PERPEKLI #seks #SPAD #teksi
;