Gred pegawai perubatan kontrak akan diselaras sama dengan lantikan tetap - Menteri
Umavathi Ramayah
Ogos 25, 2020 12:03 MYT
Ogos 25, 2020 12:03 MYT
Kementerian Kesihatan akan membentangkan kertas cadangan penyelarasan gaji pegawai perubatan kontrak gred UD41 ke UD43 kepada Kabinet dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dengan cadangan itu, pegawai perubatan kontrak bakal menerima gaji hampir sama dengan pegawai perubatan lantikan tetap sedia ada.
Cadangan di buat berikutan pegawai perubatan kontrak pada ketika ini dilihat menjalankan tugas yang sama tetapi mendapat gaji berbeza berbanding lantikan tetap.
"Selain itu, kita juga mencadangkan agar tempoh kontrak mereka dipanjangkan, sekali gus dilihat sebagai peluang lebih baik bagi pegawai perubatan kontrak mengambil laluan kepakaran setara.
"Bagi mereka (pegawai perubatan kontrak) yang kita naikkan gaji ke gred UD43 ialah pegawai yang sentiasa patuh dan bersedia untuk terus kekal dalam kementerian," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang membangkitkan mengenai penyelarasan gred pegawai perubatan kontrak yang masih belum dilaksanakan.
Mengulas lanjut mengenai pelanjutan tempoh kontrak, Dr Adham menjelaskan, ia adalah sebagai usaha menambahbaik laluan kerjaya serta memelihara keharmonian di tempat kerja bagi pekerja tetap dan kontrak dalam meningkatkan motivasi semasa bertugas.
Terdahulu, Dr Adham ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk memberikan pegawai perubatan kontrak kemudahan yang setara dengan pegawai perubatan tetap, beliau berkata secara prinsipnya pegawai perubatan kontrak mendapat emolumen setara dengan lantikan tetap.
Menurutnya, faedah lain seperti kemudahan cuti diberikan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008 - Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak serta Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Bilangan 2 Tahun 2016.
Antara faedah cuti diberikan adalah cuti rehat selama 25 hari, cuti sakit selama 90 hari bergaji penuh dan cuti bersalin.
"Selain itu, pegawai perubatan kontrak juga dipanjangkan kemudahan rawatan perubatan kepada ibu bapa yang sebelum ini tidak pernah diberikan kepada pegawai lantikan kontrak lain.
"Namun begitu, cuti rehat semasa latihan siswazah tidak diberikan seperti pegawai dalam skim perkhidmatan lain kerana cuti berkenaan perlu diselaraskan mengikut penempatan latihan siswazah.
"Kelayakan cuti-cuti lain dinikmati pegawai perubatan tetap adalah tertakluk kepada pemanjangan cuti berkenaan kepada pegawai lantikan kontrak yang hanya boleh dipertimbangkan Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya lagi.
#Dewan Rakyat
#doktor pelatih
#Dr Adham Baba
#houseman
#housemen
#Kementerian Kesihatan
#Menteri Kesihatan
#Parlimen
#pegawai perubatan kontrak