Grand Line of KL bakal tarik 20,000 pengunjung riadah di tengah bandar

Faida Rahim
September 3, 2023 23:24 MYT
Tan berkata, cadangan itu turut memberi fokus kepada orang ramai termasuk yang bekerja di sekitar kawasan Pasar Seni. - Gambar LinkedIn
KUALA LUMPUR: Cadangan pembinaan Grand Line of KL dijangka dapat menarik minat 20,000 orang awam melakukan aktiviti riadah di tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Pengasas getbiib.com Tan She Yong memberitahu, cadangan itu turut memberi fokus kepada orang ramai termasuk yang bekerja di sekitar kawasan Pasar Seni dan berdekatan menjalankan aktiviti riadah atau menikmati pemandangan selepas waktu bekerja.
"Khusus untuk yang gemarkan gaya hidup aktif dan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa hendak balik rumah selepas waktu bekerja untuk melakukan aktiviti senaman.
"Sebagai sebuah syarikat teknologi, apa yang kami cadang untuk menghasilkan sesuatu kepada komuniti, rakyat dan bandar raya Kuala Lumpur. Lokasi ini boleh menarik lebih ramai untuk menceburkan diri dalam aktiviti sukan serta menambah transaksi perniagaan.
"Kita juga tahu tahu sebilangan besar rakyat menuju ke arah obesiti, apa yang kita boleh buat kita hendak bantu orang ramai bakar lebih kalori dengan anggaran 20,000 orang yang akan memanfaatkan Grand Line of KL yang mana jangkaan lapan juta kalori setiap minggu," katanya kepada Astro AWANI.
Jelas Tan lagi, sekiranya inisiatif itu diluluskan, ia akan siap dalam tempoh tiga bulan dan melalui beberapa fasa termasuk tempoh uji kaji untuk memastikan tahap keselamatan di tahap maksimum.
Dalam pada itu, Tan memaklumkan laluan pejalan sepanjang lima kilometer itu akan menyediakan tempat simpanan barang serta papan tanda yang mudah difahami memandangkan laluan ini juga sesuai dijadikan lokasi riadah untuk golongan orang kehilangan upaya (OKU) dan warga emas.
Pada Jun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama perunding kemakmuran bandar, Think City melancarkan Program Geran KL Kreatif dan Cabaran Urban KL Kreatif yang memberi fokus kepada peremajaan pusat bandar Kuala Lumpur (KL) pada 6 Jun lalu.
Penekanannya menunjukkan komitmen kerajaan untuk membentuk bandar yang berdaya huni, berdaya tahan dan mampan, selain mengutamakan kesejahteraan termasuk kualiti hidup rakyat Malaysia.
#Tan She Yong #gaya hidup aktif #kualiti hidup #warga emas
;