Graduan UPM digesa terus menyumbang kepada universiti

Eton Khir
Mac 19, 2022 04:42 MYT
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika Istiadat konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 pada Sabtu. - Foto Facebook/Universiti Putra Malaysia
SERDANG: Graduan digesa meneruskan hubungan baik dengan universiti agar dapat menyumbang kepada pembangunan sekali gus membina generasi yang berilmu dan berwawasan.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, usaha itu juga sebagai tanda syukur atas pengorbanan yang dicurahkan warga universiti yang membantu graduan mencapai kejayaan.
Baginda yakin graduan yang dihasilkan Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah graduan yang unggul dan berkualiti tinggi hasil bimbingan pensyarah berintegriti melalui sistem akademik yang bertambah baik.
"Justeru, adalah tidak munasabah jika ada pihak meragui kualiti graduan UPM hanya semata-mata bersandarkan jumlah graduan yang dihasilkan. UPM sentiasa memastikan semua graduannya berkualiti sebagaimana ditetapkan.
"Peranan universiti, bukan sahaja untuk menyediakan belia atau graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja tetapi melengkapkan graduan dengan kemahiran yang diperlukan supaya menjadi individu aktif, bertanggungjawab, beradab, beramanah, dan menjunjung tinggi tatacara kehidupan insaniah.
"Graduan seperti ini akan membawa rahmat dan kesejahteraan kepada insan yang lain dan alam persekitaran serta akhirnya menjamin masa depan yang cemerlang. Kejayaan yang diperolehi bukan saja dari segi akademik tetapi juga dari segi keperibadian diri graduan," baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UPM Ke-45 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj (PKKSSAAS) pada Sabtu.
Istiadat konvokesyen UPM yang bermula Sabtu sehingga 24 Mac melibatkan seramai 6,142 graduan merangkumi 484 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,611), Bacelor (3,564) dan Diploma (483).
Pada istiadat berkenaan, Sultan Sharafuddin mengucapkan tahniah kepada warga UPM atas kejayaan berada di tangga 143 dalam penarafan QS World University Ranking 2022, berbanding tangga 376 pada 2015
Malah masih mengekalkan kedudukan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan ranking ke-27 terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2021.
Turut mengucapkan tahniah sempena ulang tahun ke-50 UPM pada tahun lepas, baginda dalam titahnya percaya dalam tempoh berkenaan, UPM telah memperoleh banyak pencapaian dan kejayaan.
"Beta berharap UPM akan terus memacu kecemerlangan untuk 50 tahun akan datang dengan semangat solidariti yang tinggi dalam kalangan staf, pelajar dan tentunya alumni,” titah baginda.
#Sultan Sharafuddin Idris Shah #UPM #graduan #istiadat konvokesyen
;