Graduan UEC diterima masuk IPG khusus Bahasa Cina di SJKC - Radzi Jidin

Fareez Azman
Ogos 11, 2020 13:32 MYT
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin menjelaskan sebahagian graduan UEC diterima masuk ke IPG sejak tahun 2011 bagi pengkhususan bahasa Cina SJKC. Gambar: Fail
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin menjelaskan bahawa graduan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diterima masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai memenuhi keperluan bidang pengkhususan Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Menjawab kepada soalan lisan Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, jelas Mohd Radzi, kesemua graduan mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) sejak tahun 2011 dan diteruskan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Program yang disebutkan oleh YB Maszlee Malik itu sudah bermula sejak tahun 2011 dan pada waktu (Maszlee) menjadi menteri (Pendidikan) juga, program terbabit terus dilaksanakan.
"Jadi, sebenarnya perkara ini memang dalam pengetahuan Yang Berhormat. Hakikatnya dasar itu berlaku, pengambilan pelajar kelulusan UEC untuk tujuan kemasukan ke IPG bagi mata pelajaran Bahasa Cina untuk SJKC," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam soalan lisan itu, Maszlee antara lain meminta Menteri Kanan Pendidikan itu bersetuju sama ada kerajaan mengiktiraf sebahagian lulusan UEC kerana terdapat graduan yang diterima masuk ke IPG.
#Dewan Rakyat #Dr Radzi Jidin #graduan #IPG #Maszlee Malik #Menteri Kanan Pendidikan #Pakatan Harapan #Parlimen #Perikatan Nasional #PISMP #UEC
;