Graduan TVET diminta mendaftar dengan Lembaga Teknologis Malaysia

Bernama
Februari 16, 2024 11:30 MYT
Bagi memastikan kualiti graduan TVET, mereka turut digalakkan mendapatkan nilai tambah dengan menyertai program-program latihan dan pembangunan berterusan anjuran MBOT. - Gambar hiasan/DagangNews
PUTRAJAYA: Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) yang telah menamatkan latihan di mana-mana institusi diminta berdaftar dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
MBOT dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis TVET yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi MTVET, pada 23 Jan lepas.
"Dalam mesyuarat itu, MBOT telah membentangkan kertas berkaitan Peranan MBOT dalam Memperkasa Graduan TVET. Mesyuarat bersetuju agar graduan TVET yang telah menamatkan latihan supaya berdaftar dengan MBOT," menurut kenyataan itu.
Menurutnya tindakan mendaftar dengan MBOT bertujuan meningkatkan profesionalisme, sekali gus meningkatkan produktiviti industri melalui pembangunan kapasiti dan bakat.
"Dalam memastikan kualiti graduan TVET, mereka turut digalakkan untuk mendapatkan nilai tambah dengan menyertai program-program latihan dan pembangunan berterusan anjuran MBOT atau MBOT Approved Training Provider," katanya.
Sehubungan itu, MBOT turut mempelawa semua institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran awam dan swasta untuk mendaftarkan graduan mereka dengan MBOT sebagai Juruteknik Berkelayakan atau Teknologis Berijazah.
-- BERNAMA
#TVET #Lembaga Teknologis Malaysia #daftar dengan MBOT #graduan TVET
;