Graduan protes: UM perlu tarik balik laporan polis - Maria Chin
Astro Awani
Oktober 20, 2019 10:50 MYT
Oktober 20, 2019 10:50 MYT
Maria Chin Abdullah menggesa Universiti Malaya (UM) menarik balik laporan polis terhadap Wong Yan Ke yang menunjukkan tanda protes sejurus menerima skrol ijazah sarjana muda di atas pentas, pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59, pagi Isnin lalu.
Ahli Parlimen Petaling Jaya itu menegaskan, ia perlu dilakukan selepas UM memutuskan untuk tidak menahan skrol graduan kejuruteraan itu dan membenarkan dia mengambil transkrip akademiknya.
"Kami mengutuk tindakan UM membuat laporan polis kerana bersifat keterlaluan serta menyebabkan persepsi negatif terhadap nama baik UM yang sepatutnya menggalakkan dan melindungi kebebasan bersuara mahasiswa.
"Pihak universiti seharusnya menggalakkan mahasiswa dan mahasiwi menerapkan pemikiran kritik untuk terus maju ke arah menjadi sebuah universiti yang mempunyai kebebasan akademik.
"Tuntutan mahasiswa-mahasiwa harus diberi perhatian dan keutamaan serta asasnya harus diteliti. Plakad yang diangkat oleh graduan di atas pentas majlis konvokesyen menunjukkan bahawa saluran komunikasi buat masa kini adalah tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Sabtu, Pengerusi Lembaga UM Tengku Datuk Dr Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim mengumumkan pihak universiti tidak menahan skrol dan transkrip akademik atau menarik balik ijazah graduan terbabit.
Institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu sebelum ini menegaskan, laporan polis dibuat kerana graduan berkenaan tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol dan kelancaran majlis.
Dalam pada itu, tegas Maria, pihak universiti mahupun pihak polis bantuan tidak seharusnya bertindak dengan keras menyekat ataupun menafikan hak kelayakan dan perogatif seseorang graduan daripada menerima skrol ijazahnya.
"Kami mencadangkan pihak universiti menarik balik laporan polis tersebut dan mengamalkan polisi yang lebih longgar dan bertoleransi terhadap mahasiswa dan mahasiswi.
"Dalam era Malaysia Baharu, dasar-dasar yang menzalimi dan menghakis prinsip kebebasan bersuara harus diteliti semula.
"Kerajaan harus menunjukkan kerelaan politik untuk berubah dengan meneliti sama ada tindakan pihak universiti selari dengan inspirasi baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH)," tegasnya.
Tambahnya, peranan Kesatuan Mahasiswa UM juga bukannya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dihadkan peranannya kepada isu kebajikan seperti perkhidmatan bas, asrama dan mahasiwa.
"Mahasiswa harus diberikan pendedahan sewajarnya kepada perkembangan isu-isu negara dan wacana politik negara.
"Di negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Taiwan, mahasiswa dibenarkan membuat demonstrasi semasa majlis konvokesyen mereka.
"Tindakan ini merupakan satu perbuatan yang lazim bagi membantah dasar-dasar kerajaan, ketidakadilan dalam masyarakat dan kesilapan pihak universiti," katanya.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Naib Canselor UM Datuk Abdul Rahim Hashim menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap Yan Ke di atas tindakannya membuat protes baru-baru ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Abdul Rahim perlu bertindak sedemikian dan berhenti menyasarkan aktivis pelajar yang melakukan protes.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebelum ini menegaskan Kesatuan Mahasiswa UM perlu bertemu Dr Abdul Rahim jika terdapat sebarang rasa tidak puas hati.
Katanya, pertemuan antara kedua-dua belah pihak adalah lebih baik berbanding menyelesaikan isu itu dengan membuat kenyataan kepada media.
#Abdul Rahim Hashim
#biadab
#DAP
#graduan
#jkm
#kebebasan bersuara
#Kongres Maruah Melayu
#laporan polis
#Lim Kit Siang
#Malaysia Baharu
#Maria Chin Abdullah
#Naib Canselor UM
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#politik
#protes
#saluran komunikasi
#UM