Graduan politeknik sentiasa diburu majikan - Noraini
Bernama
Oktober 29, 2021 09:05 MYT
Oktober 29, 2021 09:05 MYT
PUTRAJAYA: Graduan lepasan politeknik sentiasa menjadi buruan majikan meskipun ketika negara dilanda pandemik COVID-19, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Katanya, berdasarkan Laporan Kajian Pengesanan Graduan, kadar kebolehpasaran graduan politeknik adalah melebihi 90 peratus bagi tempoh lima tahun lepas.
"Pada 2018 misalnya, kadar kebolehpasaran graduan politeknik direkodkan sebanyak 96.1 peratus sementara pada 2019 pula ialah 96.7 peratus.
"Walaupun pada 2020 terdapat sedikit penurunan kesan daripada pandemik COVID-19, kadar kebolehpasaran graduan politeknik masih melepasi catatan nasional iaitu 91.2 peratus," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Meja Bulat Mesyuarat Majlis Penasihat Industri Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), di sini pada Khamis.
Bagi memastikan kurikulum pendidikan politeknik sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, Noraini berkata penglibatan industri secara aktif amat diperlukan supaya kurikulum yang dibangunkan bersifat kurikulum berteraskan industri.
Menurutnya, beberapa pendekatan pembelajaran berasaskan 'industry-led' telah dirangka antaranya program WBL@PolyCC, Structured Internship Programme (SIP), CEO@PolyCC dan Industry on Campus (IOC).
Menurutnya, sebanyak tujuh program pendekatan WBL@PolyCC, yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dan pengaplikasian pembelajaran sebenar di tempat kerja telah dilaksanakan.
Beliau berkata sebanyak 21 industri telah menawarkan SIP kepada 2,188 pelajar tahun akhir untuk menjalani latihan industri dan seterusnya menawarkan mereka penempatan pekerjaan dan antara pihak industri terlibat adalah Maybank dan Talent Corp.
Program CEO@PolyCC diteruskan dengan pelantikan 31 tokoh industri yang akan berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman berharga mereka dengan pelajar politeknik, katanya.
Pada persidangan hari ini, Tan Sri Sufri Md Zin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Industri JPPKK yang baharu menggantikan Tan Sri Azman Haron Shah manakala 21 peneraju industri pula dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Industri JPPKK.
Majlis Penasihat Industri JPPKK adalah platform peneraju kepada industri dalam memberikan maklum balas dan cadangan yang berkaitan dengan penambahbaikan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
-- BERNAMA