Graduan PhD perlu hasilkan penyelidikan berguna untuk negara

Rahimah Abdullah
Februari 10, 2022 13:27 MYT
Prof. Datuk Mohd Gazali Abas berkata graduan Ijazah doktor falsafah (PhD) perlu memastikan penyelidikan dan penulisan akademik mereka memberi manfaat serta berguna kepada negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Graduan ijazah doktor falsafah (PhD) perlu memastikan penyelidikan dan penulisan akademik mereka memberi manfaat serta berguna kepada negara.
Profesor Ikhtisas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Mohd Gazali Abas berkata, pandangan itu diberikan susulan ketika ini beliau melihat wujud kelemahan dalam menyebarkan hasil penyelidikan terutama dalam kajian melibatkan pasaran buruh.
Menurut Prof. Mohd Gazali, pembuat dasar memerlukan rekomendasi yang jelas daripada hasil penyelidikan melalui universiti tempatan.
"Persoalan sekarang, sejauh mana penyelidikan itu berguna kepada masalah negara, setiap tahun ada graduan PhD, ratusan juga dan orang awam tanya apa manfaat kepada negara selain penganugerahan itu.
"Sejauh mana penulisan itu beri manfaat kepada negara, ini kerana penulisan itu tidak jelas, kerana apabila hantar thesis, kemudian diluluskan panel, jadi apa selepas itu?
"Saya tak nampak satu usaha untuk menyebarluaskan penemuan kajian itu. Misal kata kalau ada kajian mengenai pasaran buruh, ada atau tidak platform untuk berkongsi dengan pembuat dasar, supaya ada reflection (bayangan pemikiran)," ujarnya semasa diskusi panel mengenai jurnal 'Review Of Labour Market Policy' yang dilancarkan Founding President IDEAS, Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz secara maya pada Khamis.
Beliau berpendapat, walaupun telah lulus PhD, graduan berkenaan juga perlu melalui ujian tertentu untuk memastikan hasil penyelidikan itu diterima di peringkat pembuat dasar.
"Itu sebab walau sudah lulus PhD, dia kena diuji. Kolaborasi itu, mungkin ada, tetapi terhad. Saya sudah tapis banyak kajian, metadologi itu dan ini, tetapi apa dia? Dia punya rekomendasi tu, tak seberapa.
"Saya tahu apa permasalahan (apabila melihat penyelidikan), cuma saya nak tengok apa selanjutnya dan sedalam mana suatu permasalahan itu, bagaimana nak mengatasi masalah itu. Itu yang tiada, yang itu ada dalam rumusan sahaja," katanya lagi.
Dalam pada itu, Prof. Mohd Gazali berkata, satu pembaharuan perlu dilakukan dalam memastikan hasil penyelidikan dan penulisan akademik graduan PhD memberi impak dan diguna pakai pembuat dasar.
"Jadi macam mana ia boleh jadi berguna kepada pembuat dasar, jadi kemungkinan kita kena re-engineer balik cara kita laksanakan sesuatu perkara," ujarnya.
Malah katanya, calon-calon PhD perlu memikirkan mengenai dasar perspektif yang dimahukan sebelum membenarkan mereka membuat penyelidikan bagi tempoh dua ke tiga tahun seterusnya.
"Untuk itu, penyelia, profesor perlu bekerjasama dengan pembuat dasar sebab pelajar ini akan keluar 2, 3 tahun akan datang, dan pembuat dasar ini tidak boleh tunggu sebab mereka mahukan kajian dalam masa beberapa bulan.
"Maka, kalau kita buat satu sistem yang betul dalam mendapatkan keputusan yang baik, ia mungkin berguna untuk negara kita," tambahnya lagi.
#graduan #PhD #Malaysia #Prof Datuk Dr Mohd Gazali Abas #Profesor Ikhtisas
;