Graduan perlu progresif kembang potensi diri, manfaat bidang baharu - Tunku Mahkota Kedah
Astro Awani
November 21, 2023 16:49 MYT
November 21, 2023 16:49 MYT
SINTOK : Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin yang juga Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), meminta graduan universiti tersebut agar lebih progresif mengembangkan potensi diri dengan memanfaatkan bidang baharu.
Titahnya, dunia kini telah berubah dengan pantas dan banyak industri baharu yang muncul setiap hari.
"Industri teknologi hijau merupakan industri baharu yang sedang berkembang dan ditambah lagi dengan penemuan rekod statistik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyatakan bahawa negeri Kedah merupakan salah satu negeri penyumbang terbesar tenaga hijau dalam negara kita.
"Kebanyakan pengeluaran tenaga hijau datang dari beberapa ladang solar yang terdapat di negeri ini, malah masih terdapat tenaga hijau yang masih belum diterokai seperti kuasa hidro, loji biojisim dan loji tenaga nuklear," titahnya pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM, petang ini.
Pro-Canselor bertitah, pembangunan adalah penting tetapi elemen penjagaan alam sekitar seharusnya menjadi agenda utama dan tiada cara lain yang lebih berkesan untuk melakukannya melainkan terlibat secara langsung, atau tidak langsung dalam bidang teknologi hijau.
Di samping itu, Tunku Mahkota Kedah juga menekankan tentang penguasaan Bahasa Inggeris terutamanya dalam dunia profesional yang akan dihadapi oleh graduan.
Titahnya, dalam dunia global sekarang, wujudnya kepentingan untuk mempelajari dan menguasai bahasa-bahasa antarabangsa, bukan sahaja Bahasa Inggeris, tetapi Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab juga patut diberikan keutamaan.
"Kemahiran menguasai lebih dari satu bahasa amat penting kerana ianya menjadi jambatan kepada keberkesanan komunikasi serta peningkatan kepada kemahiran dan kemajuan diri.
"Pembelajaran kita tidak berhenti di sini dan komitmen tersebut harus diteruskan lagi meskipun sudah bergelar graduan UUM yang telah melalui sesi pembelajaran sepanjang hayat ini. Teruskan belajar dan menimba ilmu, cuma kali ini graduan perlu melakukannya sendiri.
"Apabila seseorang itu berhenti belajar, maka kemajuan diri juga turut sama terhenti," titah Tuanku Pro-Canselor.
Tunku Mahkota Kedah itu juga berharap graduan UUM dapat mengembangkan potensi diri selari dengan era globalisasi pada masa kini, meneruskan usaha menguasai bahasa-bahasa antarabangsa dan belajar bagi memajukan diri.
Pada sesi petang ini, seramai 670 graduan ijazah sarjana dan diploma pascasiswazah menerima ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Tuanku Pro-Canselor di Dewan Mu'adzam Shah.
#Tunku Mahkota Kedah
#Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin
#pro-canselor
#UUM
#graduan
#mahasiswa
#TNB