Graduan perlu cipta peluang kerja, bukan hanya cari kerja - Azmin
Madiha Abdullah
Ogos 29, 2018 05:54 MYT
Ogos 29, 2018 05:54 MYT
Graduan perlu mengambil peranan dalam memajukan ekonomi negara dengan mencipta peluang pekerjaan mereka sendiri, khususnya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menekankan kepentingan perkara ini ketika ditemubual dalam program Bicara Khas di saluran RTM pada Rabu.
Katanya, rantaian ekosistem untuk menaikkan nilai PKS perlu berpaksikan modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga terlatih dalam bidang masing-masing.
"Graduan-graduan di Malaysia ini harus menjadi graduan yang keluar daripada universiti bukan mencari pekerjaan. Mereka harus mencipta pekerjaan," katanya sambil berkongsi pengalamannya di dua institusi pendidikan tinggi di Selangor.
Bekas menteri besar Selangor itu berkata, di Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), graduan dibekalkan dengan kemahiran melalui latihan strategik yang dijalin dengan pemain-pemain utama industri.
"Kita ada menjalin satu latihan strategik dengan industri supaya apabila mereka keluar, mereka boleh mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan dan tinggi," katanya.
Melalui latihan yang dibekalkan, kata Mohamed Azmin, graduan lebih berdaya saing dan mampu mencipta sendiri peluang pekerjaan.
"Apabila ini berlaku, masalah kekurangan tenaga kerja mahir dapat dikurangkan dan pada masa yang sama akan menyumbang dalam menaikkan nilai PKS.
"Modal insan ini jugalah yang akan menyumbang kepada perkembangan industri berteknologi tinggi seperti automotif dan aeroangkasa.
"Ini sekali gus akan menjamin perkembangan pelaburan langsung asing atau foreign direct investment (FDI)," katanya.
Menurut Mohamed Azmin, sistem pendidikan negara harus berubah bagi menghasilkan graduan yang mempunyai keupayaan untuk mencipta pekerjaan.
"Kalau ini kita boleh tangani dengan satu dasar yang jelas dan polisi yang diwacanakan, saya mempunyai keyakinan penuh, Malaysia akan muncul sebagai satu negara dan ekonomi yang gagah," tambahnya.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin juga bersetuju peranan beberapa agensi perlu dikaji semula kerana terbukti wujud unsur pembaziran, terutama sekali apabila membabitkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tertentu.
"Apabila ada 10 inisiatif, maka akan ada 10 agensi diwujudkan. Ini satu pembaziran.
"Kerana, apabila agensi diwujudkan, peruntukan yang diberikan untuk dibelanjakan dalam inisiatif terbabit, akan digunakan untuk ubahsuai pejabat, beli kenderaan dan pembayaran elaun pengurusan," tambahnya.
#cipta peluang kerja
#ekonomi
#graduan
#Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
#KUIS
#Mohamed Azmin Ali
#nilai
#pelaburan
#pembaziran
#pendidikan
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKS
#Unisel
#Universiti Industri Selangor