Graduan menganggur disaran ambil kursus TVET
Bernama
April 13, 2017 10:10 MYT
April 13, 2017 10:10 MYT
Ramai yang masih tidak menyedari bahawa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dengan gaji yang agak lumayan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Destini Anak Bangsa, Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata berbeza dengan tanggapan umum yang lebih melihat kepada bidang akademik, manfaat yang ditawarkan dalam TVET sangat menguntungkan berikutan permintaan tinggi daripada industri.
"Peluang pekerjaan yang menanti bukan sahaja tinggi, malah gaji yang ditawarkan agak lumayan kerana tenaga kerja berasaskan kemahiran amat diperlukan negara yang kini sedang menuju menjadi negara maju," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau kesal dengan persepsi negatif ibu bapa yang memandang rendah akan faedah ditawarkan institusi TVET, sebaliknya ghairah mahu anak mereka memohon mengikuti pengajian akademik di universiti.
"Ibu bapa kononnya tidak mahu maruah keluarga jatuh sekiranya mereka memilih institusi TVET sedangkan institusi berkenaan menawarkan kemahiran yang menjadi rebutan banyak syarikat ketika ini seterusnya mampu mengubah hidup keluarga mereka," kata bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Justeru, Sahol Hamid menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar memilih pengajian yang menawarkan kemahiran TVET.
Beliau turut menggalakkan para graduan supaya menjalani kursus TVET bagi meningkatkan lagi peluang mereka memperoleh pekerjaan.
Katanya, ketika ini masih ramai graduan menganggur dan dengan adanya kemahiran itu, ia secara tidak langsung membantu graduan mempunyai nilai tambah yang amat berguna ketika mereka memohon pekerjaan kelak, selain dilengkapi kelulusan akademik dari institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata ini dapat dibuktikan apabila kebolehpasaran kerja graduan kemahiran TVET lebih tinggi iaitu 98 peratus berbanding graduan universiti sebanyak 60 peratus.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi GiatMara, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata para graduan harus bersikap lebih realistik dan meneroka peluang yang ada dengan menambah kemahiran diri yang dimiliki seperti mengikuti kursus tambahan TVET yang ditawarkan.
"Terdapat graduan menganggur dan golongan profesional yang menjalani kursus tambahan TVET di Kolej GiatMara seluruh negara kerana mereka mempunyai kesedaran bahawa kemahiran berkenaan sangat diperlukan ketika ini," katanya.
-- BERNAMA