Graduan diploma Kolej Vokasional cecah 93,094, atasi sasaran KPM
Bernama
Mac 19, 2025 13:46 MYT
Mac 19, 2025 13:46 MYT
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pencapaian itu disertai dengan kadar kebolehpasaran graduan yang menunjukkan peningkatan progresif. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 93,094 graduan diploma dari Kolej Vokasional telah dilahirkan setakat ini, melebihi sasaran 90,000 yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pencapaian itu disertai dengan kadar kebolehpasaran graduan yang menunjukkan peningkatan progresif.
"Kebolehpasaran graduan diploma di KV menunjukkan peningkatan yang progresif iaitu 99.16 peratus pada 2022, 99.38 peratus pada 2023 dan 99.91 peratus bagi graduasi 2024," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Nelson W Angang mengenai perincian keberhasilan usaha reformasi pendidikan yang dilaksanakan oleh KPM setakat ini.
Wong berkata dalam aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), KPM mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan program berkenaan memenuhi keperluan industri semasa dan akan datang.
"Antaranya termasuk memperluas akses TVET kepada pelbagai peringkat murid, seperti membolehkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti program Diploma di Kolej Vokasional," katanya.
-- BERNAMA
#graduan diploma Kolej Vokasional
#Kementerian Pendidikan
#melebihi sasaran
#Dewan Negara
#Wong Kah Woh