Graduan dalam pantang berkerusi roda terima ijazah
Bernama
Januari 26, 2022 17:27 MYT
Januari 26, 2022 17:27 MYT
KUALA NERUS: Seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Yus Amira Mohd Yusof sanggup menahan kesakitan dan berkerusi roda untuk naik ke pentas demi menerima segulung ijazah.
Menurut Yus Amira, 26, dia terpaksa berkerusi roda sepanjang berada di majlis konvokesyen kerana baru sahaja melahirkan anak sulung secara pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan lima hari lepas.
Lebih mengharukan, dia yang ditemani suami, Mohd Amirul Hakim Mohd Sanusi, 26, terpaksa meninggalkan bayi perempuannya di wad HUSM untuk rawatan lanjut.
"Memanglah sakit akibat luka pembedahan masih ada, tetapi saya sudah mendapatkan kebenaran dan nasihat doktor sebelum datang ke sini.
"Lagipun bukan setiap hari kita dapat naik ke pentas terima ijazah selepas bertungkus lumus belajar dan menunggu pula dua tahun untuk konvokesyen, sudah pasti saya dan suami tidak mahu sia-siakan hari bersejarah ini," katanya ketika ditemui di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali ke-12 di sini hari ini.
GRADUAN-KONVOKESYEN 2 (AKHIR) KUALA NERUS
Sebanyak 518 graduan menerima ijazah masing-masing pada hari keempat majlis konvokesyen universiti itu.
Sementara itu, seorang ibu, Fadhilah Wahab, 50, tidak mampu menahan air mata apabila naik ke pentas menerima Diploma Rekabentuk Perindustrian mewakili anak lelakinya, Mohd Taufik Hakim Che Razmi yang meninggal dunia pada 22 Sept tahun lepas akibat kanser paru-paru.
"Pada mulanya saya dan suami tidak berniat untuk datang kerana tidak sanggup nak ingat kembali kenangan ketika menghantar dan melawat dia di sini (UniSZA).
"Tetapi atas permintaan rakan-rakan arwah dan pihak universiti, saya gagahkan jua walaupun tak mampu tahan air mata ketika berada atas pentas tadi," katanya.
Walaupun bertarung dengan penyakit kronik, Fadhilah berkata arwah anaknya seorang yang kuat semangat kerana tetap meneruskan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang sama di UniSZA, namun tidak sempat menghabiskannya.
-- BERNAMA