Graduan biadab, UM buat laporan polis

Asyraf Roslan
Oktober 15, 2019 11:30 MYT
Graduan protes di pentas majlis istiadat konvokesyen tular di media sosial. Foto Sinar Harian / Twitter Hazwan Syafiq
Universiti Malaya (UM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang graduan institusi itu yang menunjukkan tanda protes sejurus menerima skrol ijazah sarjana muda di atas pentas, pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59, pagi Isnin.
Menyifatkan ia satu kelakuan biadab dan tidak dapat diterima sama sekali, institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu menegaskan, ia jelas tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol dan kelancaran majlis.
"Ia juga telah mencemarkan nama baik Universiti Malaya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, juga para graduan dan seluruh warga UM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebagai sebuah universiti yang diiktiraf dunia selaku antara yang terbaik, UM sentiasa mendukung prinsip kebebasan bersuara.
Bagaimanapun, katanya, sebagai IPT yang menggalas amanah untuk mendidik generasi masa depan, UM percaya apa jua tindakan berlandaskan prinsip tersebut perlu dilakukan pada tempat dan dengan cara yang betul.
"Adalah menjadi tanggungjawab universiti juga bagi memastikan para mahasiswa yang kami asuh dan didik bukan sahaja akan menjadi individu yang berpengetahuan.
"Tetapi, lebih penting lagi, dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk menjadi insan yang terdidik dan berakhlak serta menghormati prinsip ‘kesopanan dan kesusilaan’ dan arif akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat dan warga sebuah Negara berperlembagaan.
"Justeru, kelakuan yang beliau tunjukkan dalam sebuah istiadat rasmi yang dibuka secara rasminya oleh Tuanku Canselor UM pada sidang pertama pagi Sabtu lalu dan diteruskan dengan perkenan Baginda sehingga sidang terakhir Rabu ini nanti, serta dihadiri oleh tetamu kenamaan, para pensyarah dan para graduan yang diraikan serta ibubapa mereka tadi adalah biadab dan tidak dapat diterima sama sekali," kata UM.
BACA : Biadab! Graduan protes di pentas konvo
BACA : Pelajar UM boleh jumpa Naib Canselor jika tidak puas hati - Maszlee Malik
Dalam kejadian pada Isnin, graduan lelaki tersebut telah menjerit di atas pentas sambil memegang kertas melaungkan "undur VC" dan "ini tanah Malaysia" sebaik menerima skrol.
Perbuatannya itu telah dirakam dan menjadi tular di media sosial.
Sehubungan itu, pihak universiti telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan selanjutnya.
#biadab #kesatuan mahasiswa Universiti Malaya #Kongres Melayu #Maszlee Malik #media sosial #Melayu #pelajar #polis #protes #siasatan #skrol #tidak dapat diterima #UM #undur VC #universiti malaya
;