Grab tidak kurangkan upah, salah faham terjadi kerana masalah sistem
Astro Awani
Ogos 4, 2022 00:05 MYT
Ogos 4, 2022 00:05 MYT
KUALA LUMPUR: Grab Malaysia tidak mengurangkan upah untuk perkhidmatan penghantaran sebaliknya isu yang tercetus merupakan kes terpencil membabitkan rakan penghantaran mereka.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Grab Malaysia memaklumkan isu itu yang menimbulkan salah faham dalam kalangan rakan penghantar, telah pun diselesaikan dan diperjelaskan kepada mereka yang terlibat.
"Kebimbangan baru-baru ini yang ditimbulkan oleh rakan kongsi penghantaran adalah disebabkan oleh gangguan dalam sistem kami, di mana dia mendapati terdapat percanggahan dalam pendapatannya.
"Kami telah membetulkan isu itu, dan telah memindahkan baki itu kepada semua rakan kongsi yang terjejas, dan menjelaskan perkara itu melalui saluran komunikasi rasmi kami pada 21 Julai," kata Grab dalam satu kenyataan pada Khamis.
Grab juga menegaskan pihak mereka kekal komited untuk menyokong komuniti rakan kongsi penghantaran mereka, dengan memperkenalkan pelbagai usaha termasuk perlindungan kemalangan peribadi percuma dan kerjasama dengan KWSP untuk memudahkan caruman, dan insentif tambahan sehingga 10 peratus bagi yang berkenaan.
"Kami juga membantu rakan kongsi kami untuk menjimatkan perbelanjaan operasi mereka seperti diskaun petrol, penyelenggaraan kenderaan, keperluan harian dan banyak lagi.
"Selain itu, kami juga memperkenalkan pelbagai promosi dan kempen seperti GrabUnlimited yang dilancarkan baru-baru ini untuk membantu rakan kongsi kami.
"Pek langganan dengan lebih daripada 50 baucar diskaun berbeza bertujuan untuk bukan sahaja meningkatkan jualan untuk peniaga, tetapi juga menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk rakan kongsi penghantaran kami," tambah mereka.
Terdahulu media melaporkan rakan kongsi penghantaran Grab tidak berpuas hati dengan kadar rata semasa yang dibayar bagi setiap penghantaran, sehingga mencetuskan perancangan gerakan boikot selama sehari pada Jumaat (5 Ogos).
Mereka mendakwa tidak diberi upah yang setimpal, terutamanya yang mengambil masa yang lebih lama untuk disiapkan.