Grab Malaysia sokong matlamat kerajaan bina negara kalis masa depan

Bernama
Oktober 13, 2023 07:30 MYT
Di bawah Belanjawan 2024, RM35 juta disediakan antaranya untuk membiayai yuran latihan dan insentif gantian pendapatan kepada 9,000 pekerja gig yang menghadiri program latihan. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Grab Malaysia komited untuk membina sebuah negara kalis masa depan menerusi tiga nilai teras iaitu mengutamakan perlindungan sosial bagi pekerja ekonomi gig dan memberikan kemahiran baharu; menangani kenaikan kos sara hidup; serta memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk pertumbuhan ekonomi.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata komitmen terhadap kesejahteraan rakan mereka sentiasa menjadi keutamaan, dan secara konsisten melabur dalam kebajikan dan keselamatan pekerja ekonomi gig selama ini.
"Ini direalisasikan menerusi pelbagai usaha dan faedah, termasuk perlindungan insurans, caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ciri-ciri keselamatan dan penambahbaikan, serta faedah harian seperti sokongan pembiayaan, penjimatan bahan api dan perbelanjaan harian.
"Kami dedikasi untuk meningkatkan kemahiran dan pembangunan kerjaya rakan kami melalui inisiatif seperti GrabAcademy dan kerjasama strategik contohnya perkongsian kami dengan Universiti DRB-Hicom," katanya dalam kenyataan semalam.
Foo berkata sejajar dengan inisiatif berterusan Payung Rahmah kerajaan, Grab Malaysia berusaha untuk memastikan perkhidmatannya memenuhi semua segmen masyarakat, berpatutan dan boleh diakses melalui pakej keluarga dan ciri-ciri seperti Saver, pilihan penghantaran pada GrabFood.
Sebagai platform yang digunakan oleh kebanyakan PMKS untuk memperoleh aliran pendapatan tambahan, Grab Malaysia komited meningkatkan keupayaannya untuk pertumbuhan, katanya.
"Grab Malaysia merancang untuk terus bekerjasama dengan kerajaan, pihak mempunyai pandangan yang sama, pihak berkepentingan industri untuk masa depan negara," katanya.
Semasa membentangkan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memperkatakan bahawa kerajaan akan meneruskan Program Bina Kerjaya Perkeso bagi memastikan pekerja tidak formal khususnya yang terlibat dalam ekonomi gig mempunyai peluang mengikuti program pembangunan kerjaya dan latihan kemahiran microcredential.
Sebanyak RM35 juta disediakan antaranya untuk membiayai yuran latihan dan insentif gantian pendapatan kepada 9,000 pekerja gig yang menghadiri program latihan, katanya.
Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan, dengan RM303.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.
Ini adalah belanjawan kedua dibentang Anwar, yang juga Menteri Kewangan sejak pembentukan kerajaan Perpaduan pada Nov 2022. Pada Februari tahun ini, Anwar membentangkan belanjawan yang disemak semula berjumlah RM388.1 bilion.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #Grab Malaysia #ekonomi gig #perkeso
;