Grab akan perkenal ciri baharu untuk tingkat mutu keselamatan pengguna
Nursyazwani Saiful Sham
Jun 26, 2018 18:53 MYT
Jun 26, 2018 18:53 MYT
Penyedia perkhidmatan pengangkutan dalam talian Grab beri jaminan akan meningkatkan aspek keselamatan pemandu dan penumpang melalui pengenalan ciri baharu bermula suku ketiga tahun ini.
Menurut Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh, pihaknya memandang serius terhadap isu keselamatan pengguna lebih-lebih lagi susulan insiden bunuh melibatkan pemandunya sepertimana yang dilaporkan media pada Sabtu.
“Kami memandang isu keselamatan sebagai satu proses berterusan dan kami akan mempertingkatkan tahap keselamatan buat pengguna dalam masa terdekat.
“Kami akan meningkatkan tahap keselamatan dalam platform kami daripada segi teknologi, aktiviti jalan raya dan dari segi komunikasi pada suku ketiga tahun ini.
”Ciri-ciri itu akan diperkenalkan kepada umum dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Selasa.
Mengulas tentang saranan saringan maklumat peribadi penumpang yang disuarakan oleh pemandu, Sean berkata adalah mustahil bagi Grab untuk membuat saringan berjuta penumpangnya yang datang dari pelbagai negara.
“Terlalu ramai penumpang yang menggunakan perkhidmatan kami, namun kami percaya terdapat cara yang akan diimplimentasikan buat pemandu memastikan identiti penumpangnya sebelum bersetuju menerima tempahan,” jelasnya.
Pada sama, Sean turut menggesa agar semua pemandu untuk mendaftarkan diri dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Kami turut bekerjasama dengan Perkeso untuk terus memastikan pemandu sudah berdaftar sebagai pencarum Perkeso,” ujarnya.
Ia susulan kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran pada Selasa yang menyatakan bahawa pemandu Grab, Aiman Nosri yang ditemui mati minggu lalu tidak berdaftar sebagai pencarum Perkeso.
Pada Sabtu, Aiman dilaporkan kali terakhir bertugas membawa penumpang pada Khamis jam 9.34 malam dari Jalan Tun Tan Cheng Lock ke Selayang Baru.
Susulan kejadian, pihak Grab berkata ia sedang bekerjasama dengan polis dalam siasatan kes tersebut.