GPS medium utama tuntut hak dan autonomi Sarawak - Taib Mahmud
Rohana Wahed
Julai 9, 2018 16:04 MYT
Julai 9, 2018 16:04 MYT
Bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud hari ini merestui penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan menganggapkan parti itu sebagai wadah penting dalam memenuhi kehendak serta aspirasi rakyat negeri Bumi Kenyalang.
Beliau yang juga Yang Dipertua Negeri Sarawak berkata, pada masa sama, parti yang bakal dilancar 22 Julai ini menjadi landasan kukuh kerajaan negeri memperjuangkan hak dan autonomi negeri itu.
“GPS akan menjadi sebuah gabungan parti politik kuat malah saya percaya rakyat mampu bersatu padu dibawahnya.
“Saya juga menyakini GPS menjadi wadah penting menggerak jentera kerjasama kerajaan Sarawak untuk bersama-sama Kerajaan Persekutuan selaras Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 di DUN Sarawak di sini hari ini.
Abdul Taib juga menyatakan keyakinannya terhadap kerajaan negeri dalam menguruskan isu minyak dan gas dengan baik.
"Saya juga menaruh kepercayaan tinggi terhadap penguatkuasaan undang-undang seperti Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016.
"Ini akan memastikan sumber minyak dan gas berharga di Sarawak dapat dibangunkan untuk rakyat sendiri," katanya.
Oleh itu kata Abdul Taib, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) ditubuhkan tepat pada masanya selari usaha kerajaan negeri mengurus industri minyak dan gas Sarawak.
Katanya, ia selaras impian Sarawak menjadi negeri hub industri minyak dan gas rantau ini.