GPS harap PM pertimbang wakil Sarawak Speaker Dewan Negara

Umavathi Ramayah
Mei 13, 2024 18:25 MYT
Alexander berharap Perdana Menteri akan mempertimbangkan wakil dari Sarawak bagi mengisi kekosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Negara susulan kematian Mutang Tagal.
KAPIT: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertimbangkan wakil dari Sarawak bagi mengisi kekosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Negara susulan kematian Datuk Mutang Tagal, pada 10 Mei lalu.
Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lantikan mendiang bagi mengisi jawatan yang dilepaskan Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu belum pun mencecah tempoh setahun.
Namun katanya, beliau menyerah keputusan akhir kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
"Saya sebagai orang Sarawak daripada GPS, memang kita mengharapkan penggantinya diteruskan dari Sarawak. Sebab kalau kita ingat, Tun (Wan Junaidi) sekarang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.
"Beliau dilantik dalam masa setahun tetapi dalam masa setahun terpaksa meletak jawatan itu (Speaker Dewan Negara) untuk jadi TYT (Tuan Yang Terutama) Sarawak. Jadi digantikan dengan mendiang Datuk Mutang Tagal.
"Tetapi kita kehilangan beliau (Mutang Tagal) baru-baru ini. Jadi tiga tahun... belum sempat satu penggal. Kita harap boleh dipertimbangkan atas dasar biarlah bagi kita (orang) Sarawak (habiskan) satu penggal ini (berbaki) tempoh tiga tahun (lagi)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara Mangkung Tiang di Tatai Emas Sungai Amang, Kapit di sini pada Isnin.
Ditanya senarai calon yang bakal dicadangkan untuk mengisi jawatan itu, Alexander bagaimanapun mengakui belum mengetahuinya.
Mutang Tagal, 69, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, Jumaat lalu selepas dilaporkan tidak sihat setelah pulang dari lawatan rasmi ke Azerbaijan.
Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990 itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 pada 19 Februari lalu, sekali gus menjadikan beliau pemimpin pertama etnik Lun Bawang dilantik ke jawatan itu.
Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya dalam bidang perundangan.
Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.
#Alexander Nanta Linggi #Speaker Dewan Negara #GPS #Sarawak
;