GPP tapak perkhemahan siap untuk diedar dalam masa terdekat

Bernama
Oktober 17, 2023 17:51 MYT
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berucap pada Majlis Pelancaran Program Bring Your Own Peringkat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan yang disediakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah siap sepenuhnya dan akan diedarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dalam masa terdekat.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata garis panduan yang komprehensif itu akan menjadi rujukan kepada pengusaha tapak perkhemahan berkaitan permohonan lesen bagi memastikan kawasan riadah berkenaan selamat untuk pengunjung.
"Keselamatan tapak dengan penentuan jarak sesuai dari kawasan larangan dan keadaan bentuk muka bumi antara yang digariskan dalam garis panduan tersebut.
"Walaupun ada garis panduan, kadang-kadang berlaku bencana alam di luar jangka. Betapa komprehensif garis panduan yang kita ada, jika bencana alam seperti gempa bumi nak berlaku, kita tidak dapat nak lari," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bring Your Own di sini hari ini.
GPP yang dibuat susulan kejadian tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali pada Disember tahun lepas itu, mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi yang berkaitan termasuk PBT dan pengusaha tapak perkhemahan.
Tragedi tanah runtuh pada 16 Dis itu menyaksikan 31 orang terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.
Pada masa sama, Nga mengingatkan ibu bapa supaya memberi perhatian terhadap aspek keselamatan apabila merancang percutian bersama keluarga terutama ketika cuaca tidak menentu pada akhir tahun.
"Jangan pergi ke tempat berisiko tinggi kerana tidak berbaloi, malang tidak berbau," tegasnya.
Mengenai program hari ini yang dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Nga berkata ia merupakan kesinambungan Kempen #JanganGunalah yang dilaksanakan sejak Oktober 2018 sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya berhenti menggunakan beg plastik sekali guna.
Menurutnya program berkenaan digerakkan bersama pihak berkepentingan di peringkat negeri termasuk PBT, persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) di premis perniagaan pasar awam, pasar tani serta bazar Ramadan.
"Menerusi usaha berterusan, saya yakin dapat meningkatkan kesedaran untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan menyumbang kepada sasaran 40 peratus kadar kitar semula kebangsaan menjelang 2025," katanya.
-- BERNAMA
#garis panduan perancangan #GPP #tapak perkhemahan #Nga Kor Ming
;