GPM, Sinar Harian terus rawat Palu

Sinar Harian
November 10, 2018 06:52 MYT
Petugas GPM berangkat ke Sulawesi. - Foto Sinar Harian
Global Peace Mission (GPM) Malaysia meneruskan misi bantuan kemanusiaan keempat #PeduliGempaSulawesi pasca gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi Tengah khususnya di kawasan Palu.
Misi kali ini disertai oleh tujuh orang yang terdiri daripada petugas kemanusiaan GPM, pasukan Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), seorang wakil Majlis Belia Malaysia (MBM) di samping seorang wartawan dari Sinar Harian.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi GPM, Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim, berkata,misi bantuan yang keempat oleh GPM, Helwa Abim dan MBM ke Palu ini akan menumpukan kepada penyaluran bantuan sokongan psikososial kepada lebih kurang 600 orang kanak-kanak yang terkesan.
"Selain itu kita akan membantu set kembali ke sekolah buat anak-anak, aktiviti sokongan psikososial kepada para ibu, penyerahan sumbangan asas kepada 500 keluarga dan juga meneruskan kesinambungan misi yang lalu untuk membangunkan hunian sementara (Peace Village) bagi mereka yang telah kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di dalam khemah.
"GPM akan melakukan pengagihan kepada mereka yang berada di kawasan yang sukar dan kurang mendapat bantuan disebabkan oleh keadaan jalan yang rosak.
"Sejumlah 500 kotak bantuan yang berisi bahan-bahan makanan asas dan siap untuk dimakan akan disediakan oleh pasukan keempat GPM yang akan berada bermula 9 November 2018 dan diagihkan setelah ketibaan keseluruhan pasukan yang keempat ini," katanya.
Fadhilah menambah, GPM telah mengenal pasti kawasan untuk pembangunan ‘Peace Village’ yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh hampir 100 buah keluarga. Ianya akan dilengkapi dengan masjid, tandas dan juga dapur umum.
"Kos pembangunan ‘Peace Village’ ini adalah sebanyak RM200,000 dan GPM masih membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk terus menyumbang bagi tujuan tersebut.
Rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia, " ujarnya.
Untuk sumbangan dalam talian : www.billplz.com/gempasulawesi 2. Deposit/pindahan ke akaun GLOBAL PEACE MISSION:
Maybank: 5642 2161 1602
Bank Islam: 1402 3010 02922 4 Ref: tsunami
e-mel: gpmkewangan@gmail.com
#bantuan #gempa bumi #Global Peace Mission #GPM #Indonesia #makanan #misi kemanusian #Peace Village #PeduliGempaSulawesi #rakyat Malaysia #Sulawesi #sumbangan #tsunami #Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim
;