GPM lancar tabung bantuan gempa di Sulawesi

Bernama
September 30, 2018 07:58 MYT
Pihak berkuasa Indonesia berusaha memastikan bantuan tiba di Sulawesi yang dilanda gempa ketika angka kematian terus meningkat kerana kesukaran anggota penyelamat untuk sampai ke kawasan terpencil yang terjejas. REUTERS
Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah melancarkan tabung bantuan kemanusiaan #PeduliGempaSulawesi bagi membantu mangsa kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu dan Donggala Sulawesi Tengah, Indonesia, Sabtu.
Menurut kenyataan GPM, pertubuhan itu sudah berhubung dengan GPM Indonesia bagi mengatur penghantaran barang-barang bantuan kemanusiaan dengan segera kepada penduduk di Kota Palu dan Kabupaten Donggala.
"Berdasarkan laporan oleh ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance (AHA Centre), bantuan yang diperlukan ketika ini adalah makanan siap saji, bekalan air bersih, sanitasi dan kit kebersihan, keperluan perubatan, kit kebersihan untuk wanita termasuk khemah," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu berdasarkan maklumat Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) sehingga pukul 1 tengah hari Ahad, jumlah mangsa yang terkorban seramai 832 orang manakala 540 orang cedera parah.
Sejumlah 16,732 orang kehilangan tempat tinggal dan sejumlah 1.5 juta mereka yang terkesan dengan bencana alam ini.
Rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui talian www.billplz.com/gempasulawesi atau deposit ke akaun GPM Maybank di nombor akaun 564221611602 dan Bank Islam (14023010029224).
Orang ramai yang ingin tahu mengenai misi menghantar bantuan kemanusiaan #PeduliGempaSulawesi ini boleh berhubung dengan Ketua Pegawai Operasi Syahrir Azfar di talian 013-2226057 atau emel di gpmhq@yahoo.com.
-- BERNAMA
#Bank Islam #bantuan kemanusiaan #cedera #donggala #gempa bumi #Global Peace Mission #GPM #Indonesia #Malaysia #mangsa #Maybank #Palu #perubatan #rakyat #Sulawesi #tabung #tsunami
;