GPM kutuk pengeboman masjid di utara Kunduz, Afghanistan
Bernama
Oktober 9, 2021 09:55 MYT
Oktober 9, 2021 09:55 MYT
KUALA LUMPUR: Global Peace Mission Malaysia (GPM) mengutuk sekeras-kerasnyanya tindakan pengeboman berani mati yang berlaku di sebuah Masjid di Utara Kunduz, Afghanistan ketika solat Jumaat, semalam.
Dalam satu kenyataan, GPM berkata dalam keadaan Afghanistan yang masih belum stabil selepas pengambilalihan kerajaan Taliban pada 15 Ogos 2021, tindakan sebegini hanya akan meningkatkan lagi tekanan kepada masyarakat Afghanistan.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilaporkan telah membunuh hampir 100 orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Pengeboman ini adalah yang kedua berlaku sepanjang pasukan GPM berada di Afghanistan selepas pengeboman pertama yang berlaku di sebuah masjid di Eid Gah, Kabul pada Ahad lepas yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang.
GPM kini berada di Afghanistan dalam usahanya menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terkesan secara langsung mahupun tidak langsung ekoran konflik peperangan. Turut bersama adalah pasukan Muslim Volunteer Malaysia (MVM).
Dalam pada itu, GPM juga menggesa semua pihak terlibat untuk menyelesaikan pertelagahan di meja rundingan dan tidak melibatkan keselamatan dan nyawa orang awam.
"Masyarakat Afghanistan wajar diberi peluang untuk hidup dalam keadaan yang tenang dan aman setelah melalui konflik dan ketidakstabilan hampir empat dekad.
"Seluruh masyarakat dunia harus memberikan sokongan dalam memastikan keamanan Afghanistan dan menyalurkan bantuan dalam apa jua bentuk di dalam waktu yang sukar ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA