GPI tafsirkan sumbangan suri rumah dalam bentuk kewangan - Penganalisis

Irfan Faruqi
Januari 31, 2025 21:00 MYT
GPI menawarkan tafsiran kepada sumbangan suri rumah tidak bekerja dalam bentuk kewangan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penunjuk Kemakmuran Tulen (GPI) memberikan gambaran menyeluruh mengenai produktiviti negara dengan mengambil kira aktiviti ekonomi dan selainnya.

Ringkasan AI
  • GPI menggabungkan dimensi ekonomi, sosial, dan alam sekitar dalam satu ukuran yang terintegrasi, memberikan gambaran menyeluruh mengenai produktiviti negara.
  • Sumbangan suri rumah tidak bekerja diiktiraf dalam bentuk kewangan, dengan nilai sumbangan mereka kepada ekonomi negara pada tahun 2023 dianggarkan sebanyak RM43 bilion.
  • Nilai GPI lebih rendah berbanding KDNK, dengan GPI per kapita hanya 57% daripada KDNK per kapita Malaysia pada tahun 2023, menunjukkan perbezaan dalam pengukuran kesejahteraan negara.

Pengerusi Kluster Ekonomi, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Sosial Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Dr Jamal Othman berkata petunjuk berkenaan menawarkan tafsiran kepada sumbangan suri rumah tidak bekerja dalam bentuk kewangan.
“GPI menawarkan pendekatan berkenaan dengan menyatukan dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam satu ukuran yang terintegrasi serta dibentangkan dalam representasi kewangan. Ia bertujuan membantu kita bandingkan aspek-aspek lain.
“Sumbangan pekerja suri rumah yang membantu suami dan rumah tangga, kita mungkin beranggapan ia tidak menyumbang kepada produktiviti negara. Mereka (suri rumah) sepatutnya sertai pasaran kerja.
“(Pandangan ini tersasar) memandangkan mereka menyumbang kepada kebajikan keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Dialog Poket Rakyat: GPI | Menilai pembangunan ekonomi, alam sekitar & kesejahteraan sosial
Menurutnya, suri rumah tidak bekerja menyumbang RM43 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2023. Oleh itu, suatu penghargaan perlu diberikan kepada kumpulan ini yang pada hakikatnya memberi nilai tambah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pada 22 Januari lalu, APM melalui satu kenyataan berkata kajian akademi berkenaan mendedahkan bahawa nilai GPI jauh lebih rendah berbanding KDNK. KDNK per kapita Malaysia pada tahun 2023 adalah RM44,638, manakala GPI per kapita hanya RM25,262 atau 57 peratus daripada KDNK.
Tambah kenyataan itu lagi, trajektori pertumbuhan GPI dan KDNK pada umumnya bergerak seiringan, menunjukkan bahawa turun naik faktor-faktor makroekonomi mempengaruhi kedua-dua KDNK dan GPI serentak.
#KDNK #Keluaran Dalam Negara Kasar #Malaysia #ekonomi #GPI #Suri Rumah
;