Gozout disahkan tidak berdaftar oleh KKM

Nursyazwani Saiful Sham
November 27, 2017 19:11 MYT
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan produk tersebut mengandungi 100 peratus bahan aktif dan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). -Astro AWANI / Shahir Omar
Bagi pengguna produk kesihatan Gozout, anda seharusnya berhati-hati dengan pengambilan produk tersebut. Hal ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan produk itu tidak berdaftar.
Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan produk tersebut mengandungi 100 peratus bahan aktif dan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
Sehubungan itu katanya, KKM telah mengambil tindakan merampas produk Gozout di Kelantan dan Terengganu yang melibatkan jumlah nilai rampasan sebanyak RM2.3 juta.
"Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan pengiklanan produk kesihatan tidak bedaftar dalam talian.
"Pihak kementerian juga ingin menasihatkan pemilik dan pengedar produk kesihatan supaya merujuk kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk memastikan produk-produk yang dijual di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya dalam satu kenyatan media.
Dalam pada itu, orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai produk meragukan menerusi laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my, talian 03-78413200 atau mana-mana cawangan penguatkuasaan farmasi negeri yang berdekatan.
Semakan status pendaftaran sesuatu produk pula boleh dibuat melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.
#berhati-hati #Datuk Dr Noor Hisham #dinasihatkan #Gozout #iklan #jual #KKM #produk #rampas #waspada
;