Gotong-Royong Perdana 10,000 tadika serentak seluruh negara

Astro Awani
April 15, 2018 06:33 MYT
Program Perdana kali ini melibatkan ibu bapa serta pihak tadika untuk sama-sama membersihkan kawasan di dalam dan di luar tadika. Astro AWANI
Hampir 500,000 kanak-kanak dari 10,000 Tadika Kemas dan Taska Permata seluruh negara, serta ibu bapa dan Jawatankuasa Tadika Kemas menyertai program Gotong-Royong Perdana pada Ahad.
Program tersebut, dilancarkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bertujuan menanam nilai-nilai kebersihan dalam kalangan kanak-kanak Tabika Kemas dan Taska Permata Kemas.
"Sebelum ini program tersebut melihatkan kanak-kanak sahaja. Program Perdana kali ini melibatkan ibu bapa serta pihak tadika untuk sama-sama membersihkan kawasan di dalam dan di luar tadika," katanya.
Beliau yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran itu di Tabika Kemas Padang Luas, Bera.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amiruddin Ariffin.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Tabika Kemas yang berjumlah 11,119 di seluruh negara kini melalui pelbagai transformasi termasuk pengenalan kepada modul baharu seperti kenegaraan dan patriotisme yang terbukti dapat memberikan pendidikan pra-sekolah terbaik.
"Ini untuk memberikan kesedaran dari awal lagi kepada nilai-nilai kenegaraan," jelasnya.
Sebagai penutup tirai Karnival Usahawan Desa @Bera 2018 malam tadi, lebih 10,000 orang telah membanjiri Laman Kerayong bagi menyaksikan kehangatan Konsert KUD@BERA 2018.
#Amiruddin Ariffin #Gotong-Royong Perdana #ismail sabri yaakob #Kanak-kanak #Tabika Kemas #Tadika Kemas #Taska Permata Kemas
;