Gopeng Ultra Trail: 170 sertai pencarian Mohammad Ashraf
Astro Awani
Mac 27, 2019 13:00 MYT
Mac 27, 2019 13:00 MYT
Usaha mencari Mohammad Ashraf Hassan yang hilang ketika menyertai acara larian di Gopeng, Perak diperhebat setelah masuk hari keempat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perak Howard Lee Chuan How berkata kira-kira 170 orang kini terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, lapor portal The Star.
Ia melibatkan anggota polis, tentera, Pasukan Gerakan Am dan Rela.
Mohammad Ashraf, 29 tahun hilang semasa menyertai acara maraton ultra sepanjang 25km pada hari Sabtu.
Laporan polis dibuat pada jam 1.00 pagi Ahad selepas cubaan penganjur untuk mencarinya gagal.
Operasi pencarian pada mulanya hanya melibatkan pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, pihak penganjur dan penduduk kampung.
Operasi mencari kini turut diperluas ke tebing Sungai Kampar.
Berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pagi Sabtu dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama.
Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan.
Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata selepas panggilan telefon tidak dijawab, Mohd Farid memaklumkan perkara itu kepada penganjur dan tindakan mencari telah dijalankan di kawasan laluan peserta tetapi tidak ditemui.
#accident
#bomba
#bunian
#Gopeng
#gopeng perak
#kemalangan
#mangsa
#mati
#maut
#mistik
#orang hilang
#Perak
#sembunyi bunian
#sukan