Google tawar kemajuan digital untuk wartawan Malaysia
Azyyati Ahmad
Ogos 20, 2018 05:26 MYT
Ogos 20, 2018 05:26 MYT
Satu usaha global syarikat untuk bekerjasama dengan industri media bagi membantu perkembangan bidang kewartawanan dalam era digital.
Ini merupakan antara inisiatif berita Google anjuran Google Malaysia, di mana wartawan dan pengamal media di negara ini dialu-alukan untuk menyertai bengkel latihan di bawah inisiatif berikut.
Menurut Pengarah Urusan Google Malaysia, Vietnam, Phillipines dan Pasaran Baru, Sajith Sivanathan, latihan akan bermula pada September ini dan akan dibuka kepada semua wartawan Malaysia yang berminat.
“Ramai datang ke Google mencari maklumat yang mereka boleh percayai, dan maklumat itu sering datang dari laporan wartawan dan organisasi berita di seluruh dunia.
“Justeru permintaan terhadap kualiti kewartawanan sangat tinggi, industri kewartawanan berada di bawah tekanan, kerana penerbitan di seluruh dunia menghadapi cabaran disebabkan peralihan industri dunia ke digital,” katanya dalam ucapan dalam forum 'Think Media Malaysia 2018’ anjuran Google pada Isnin.
Topik yang akan dibawakan dalam kursus itu nanti meliputi aspek alatan digital untuk kewartawanan, kewartawanan data, dan alat pengesahan berita.
Google Malaysia juga bersedia untuk bekerjasama dengan organisasi berita tempatan bagi mengatur bengkel latihan dalam syarikat.
Bagi mereka yang mahu latihan perseorangan, kursus inisiatif berita Google juga ada disediakan secara atas talian iaitu di newsinitiative.withgoogle.com.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
#berita
#digital
#era digital
#Gobind Singh Deo
#Google
#inisiatif berita Google
#kewartawanan
#Malaysia
#Media
#Sajith Sivanathan
#wartawan