Google rai hari lahir Tokoh Budayawan Melayu, Azah Aziz menerusi 'Google Doodle'
Afiq Ariffin
Ogos 21, 2022 10:50 MYT
Ogos 21, 2022 10:50 MYT
ENJIN carian terbesar dunia, Google, hari ini tampil memberikan penghormatan kepada Allahyarhamah Azah Aziz , sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-94 menerusi ‘Google Doodle’.
Ilustrasi khas yang dipaparkan secara umum di laman utama enjin carian itu diabadikan bagi memperingati jasanya dalam memelihara budaya, tekstil dan pakaian tradisional kaum Melayu.
Logo tersebut menampilkan Azah atau nama sebenarnya Sharifah Azah Mohammad Alsagoff, sedang memegang buku serta berlatarbelakangkan motif songket berwarna ungu; sebagai lambang dan cintanya terhadap bidang penulisan serta tekstil.
Beliau yang juga dikenali dengan nama Mak Ungku, merupakan seorang perintis wartawan wanita di tanah air, ikon budaya serta turut digelar Tokoh Budayawan Melayu.
Beliau juga merupakan isteri kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid serta ibu kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Minatnya yang mendalam terhadap bahasa, budaya dan seni telah dipupuk oleh ibunya, Azizah Jaafar, yang berasal dari Johor.
Di dalam bidang penulisan dan sastera, minatnya dipupuk semasa bekerja sebagai setiausaha di
Jabatan Pengajian Melayu, di bawah Ketua Jabatan Tan Sri Zainal Abidin Ahmad, atau lebih dikenali
sebagai Pendeta Za’ba.
Di sebalik kerjaya penulisannya, beliau juga cinta terhadap seni dan tekstil serta mempunyai hobi mengumpul pakaian dan fabrik antik dari zaman Melayu lama seperti baju kurung, baju Melayu dan kebaya.
Azah Aziz dilahirkan pada 21 Ogos 1928 di Singapura.
Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 Julai 2012 (ketika itu berusia 83) di ibu negara.