Google News kini ditawarkan dalam Bahasa Melayu

Hasimi Muhamad
Oktober 5, 2023 13:30 MYT
Melalui laman web khusus dan aplikasi yang tersedia di Android dan iOS, Google News terus membantu pembaca mencari berita daripada sumber yang berwibawa - Foto/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Google hari ini secara rasmi memperkenalkan Google News dalam pilihan Bahasa Melayu, khusus untuk pengguna di Malaysia mendapatkan lebih banyak berita tempatan.
Langkah terbaharu itu mengesahkan komitmen Google untuk menjadikan maklumat boleh diakses oleh orang ramai di seluruh dunia dalam bahasa yang mereka gemari.
Menurut Pengarah Perkongsian Berita, Google Asia Pasifik, Kate Beddoe, melalui laman web khusus dan aplikasi yang tersedia di Android dan iOS, Google News terus membantu pembaca mencari berita daripada sumber yang berwibawa.
"Dengan mengenal pasti dan menyusun cerita daripada pelbagai sumber berita – suatu langkah utama dalam memerangi berita palsu – kami membantu para pembaca mendapatkan gambaran yang lebih besar tentang perkara yang berlaku di sekeliling mereka dengan lebih mudah.
"Ini termasuk mencari lebih banyak cerita tempatan dari komuniti mereka, memahami topik berita yang melanda negara dan global pada hari tersebut.
"Ia juga memudahkan para pembaca untuk mencari berita yang mereka inginkan bukan sahaja memberi manfaat kepada pembaca, ia juga membantu pihak penerbitan.
"Google News membawa pembaca ke laman web penerbit apabila mereka klik pada pautan bagi membantu mendorong trafik ke kandungan mereka.
"Ia akan memaparkan iklan dan menggalakkan pembaca untuk melanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Beddoe berkata para wartawan memainkan peranan penting dalam membantu pihaknya memahami peristiwa penting semasa ia berlaku.
Beliau menambah, pengamal media turut membantu menyaring sejumlah besar maklumat dan menjelaskan bagaimana ia memberi kesan kepada komuniti setempat.
Sehubungan itu, Google juga kata Beddoe akan terus melabur dalam produk, program serta pembiayaan melalui Google News Initiative untuk menyokong kewartawanan berkualiti dan membantu pihak penerbit dan para wartawan Malaysia berkembang maju dalam talian.
"Kami berharap ketersediaan Google News dalam Bahasa Melayu membantu lebih ramai orang mencari berita yang mereka inginkan, daripada penerbit berwibawa yang pelbagai.
"Sama ada (berita berkenaan) di Malaysia atau luar negara, dan memberikan lebih banyak sokongan kepada para wartawan dan penerbit yang bekerja keras untuk menyampaikan berita," katanya lagi.
#Google News #wartawan Malaysia #Bahasa Melayu #berita sahih
;