Google Meet terima penambahbaikan kesan video, audio

Amanz
Januari 23, 2024 08:30 MYT
Antaramuka utama Google Meet turut dikemas kini supaya lebih mudah diakses oleh pengguna dengan setiap kesan latar belakang dan penuras dikumpulkan setempat mengikut kategori. - Foto Amanz
GOOGLE dilihat menyediakan sejumlah lagi ciri baharu pada Meet selari dengan statusnya sebagai platform telesidang atas talian yang digunakan ramai.
Ia sekali gus bermakna pengguna boleh menikmati lebih banyak manfaat menarik sewaktu membuat panggilan video dan audio.
Pertama sekali ialah keupayaan menggabungkan pelbagai kesan pada video yang bermakna pengguna bebas menggabungkan latar belakang dengan kesan penuras bersesuaian untuk pengalaman lebih menyeronokkan.
Pengenalan ini boleh dianggap menarik dan memudahkan khususnya apabila digunakan untuk sesi temu duga dalam talian.
Dalam masa sama, antaramuka utama turut dikemas kini supaya lebih mudah diakses oleh pengguna dengan setiap kesan latar belakang dan penuras dikumpulkan setempat mengikut kategori.
Seterusnya ciri Studio Lighting dan Studio Sound pula bantu meningkatkan kualiti video, sekali gus menyelesaikan isu yang disebabkan oleh pencahayaan rendah atau kualiti audio yang kurang baik.
Ini termasuklah keupayaan menyesuaikan tahap pencahayaan, kecerahan dan warna untuk kelihatan terbaik.
Sementara itu Studio Sound menggunakan AI untuk mencipta semula frekuensi audio lebih berkualiti tinggi supaya boleh didengari dengan lebih baik.
Kesemua ciri telah mula diedarkan secara berperingkat kepada pengguna.
Namun perlu diberi perhatian bahawa ciri Studio Lighting dan Studio Sound tersedia dengan tambahan Duet AI untuk Google Workspace Enterprise.
#Google #panggilan video #google meet #temu duga dalam talian
;