Google lancar Makmal Pendapatan Pengiklanan, merevolusi landskap media Malaysia
Harits Asyraf Hasnan
Julai 18, 2024 12:20 MYT
Julai 18, 2024 12:20 MYT
KUALA LUMPUR: Google hari ini mengumumkan pelancaran Makmal Pendapatan Pengiklanan di bawah Inisiatif Berita Google (GNI) di Malaysia.
Menerusi satu kenyataan media, Google berkata inisiatif tersebut yang disokong Kementerian Komunikasi bertujuan untuk merevolusikan landskap media di negara ini.
Makmal tersebut adalah program komprehensif yang bertujuan memberdayakan syarikat penerbitan berita bersaiz kecil dan sederhana di negara ini.
Menurutnya, melalui inisiatif tersebut, bilik berita tempatan akan dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan pengetahuan yang diperlukan untuk berkembang seiring landskap media yang semakin pesat berkembang.
"Program ini adalah yang terbaru dalam siri program GNI di mana ia akan terlibat secara langsung dengan syarikat penerbitan pelbagai saiz yang bertujuan untuk meningkatkan kemampuan pengiklanan digital mereka dan mendorong model perniagaan yang mampan.
"Program ini akan memberi tumpuan kepada penyediaan latihan teknikal dan produk, serta sokongan praktikal untuk mengoptimumkan laman web, meningkatkan penglibatan penonton, sekali gus meningkatkan pendapatan pengiklanan," memetik kenyataan tersebut,
Dengan menyertai makmal ini, bilik berita di seluruh Malaysia akan mendapatkan maklumat dan strategi dalam usaha meningkatkan pendapatan pengiklanan digital mereka.
Pada masa sama, ini akan memastikan penyampaian berita berkualiti tinggi kepada komuniti di seluruh negara.
Dalam kenyataan itu juga, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan penghargaan beliau terhadap inisiatif Google tersebut.
“Kerjasama ini menandakan satu titik sasaran baharu untuk industri berita Malaysia.
"Dengan melengkapi syarikat penerbitan berita dengan alat digital penting serta kepakaran, kami percaya bahawa model perniagaan mereka boleh ditingkatkan, memastikan ekosistem berita tempatan yang lebih pelbagai, lebih mampan dan berkembang,” katanya.
“Kami gembira melancarkan makmal ini untuk membantu syarikat penerbitan berita di Malaysia menyesuaikan diri, berkembang dan membina perniagaan yang lebih mampan,” kata Pengarah Urusan, Kerjasama Berita, Google Asia Pasifik, Kate Beddoe.
Sementara itu, Pengarah Negara untuk Google Malaysia, Farhan S. Qureshi turut menekankan berkenaan kepentingan program baharu ini.
“Program baru ini akan membantu syarikat penerbitan berita Malaysia berkembang dalam era digital dengan menyediakan mereka dengan alat dan latihan dan membantu memastikan masa depan kewartawanan di Malaysia,” katanya.